Itali mencipta rekod baru dalam sejarah bola sepak mereka apabila melebarkan rekod tanpa kalah kepada 31 perlawanan berturut-turut sebaik menewaskan Austria 2-1 dalam pusingan 16 Euro 2020 awal pagi tadi.

Gol dalam masa tambahan daripada Federico Chiesa dan Matteo Pessina di Stadium Wembley memastikan Azzurri ke suku akhir kejohanan itu dan akan menantikan lawan mereka, sama ada Belgium atau Portugal, di Munich.

Skuad kendalian Roberto Mancini itu tidak pernah tewas sejak kekalahan 0-1 di tangan Portugal pada September 2018.

Rekod tanpa kalah terbaru itu merupakan yang terpanjang dalam sejarah bola sepak Itali selepas mengatasi rekod 30 perlawanan tanpa kalah yang pernah dilakukan di bawah kendalian Vittorio Pozzo dari 1935 hingga 1939.

Mancini mula menggalas tanggungjawab itu selepas pasukan kebangsaan berkenaan gagal layak ke Piala Dunia 2018 di bawah kendalian Gian Piro Ventura.

Sejak itu, Itali telah memenangi 27 daripada 36 perlawanan di bawah kendalian bekas pengurus Inter Milan dan Manchester City itu (tujuh seri dan dua kekalahan).

Mereka memenangi kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 menewaskan Turki, Switzerland dan Wales di Rome tanpa dibolosi sebarang gol.

Jaringan Sasa Kaladzics buat Austria pada minit ke-114 perlawanan awal pagi tadi merupakan kali pertama Itali dibolosi sejak Oktober 2020 dan ia turut menamatkan rekod 1,168 minit tanpa dibolosi pasukan itu.