Kasper Hjulmand yakin Denmark akan memperoleh kejayaan dalam kejohanan utama yang akan datang selepas disingkirkan England dalam separuh akhir Euro 2020 awal pagi tadi.

Demark -- yang dikejutkan dengan insiden serangan jantung Christian Eriksen dalam perlawanan pembukaan -- menerima sokongan padu sepanjang kejohanan kali ini tetapi tewas 1-2 kepada England di Stadium Wembley dalam penentuan ke final.

Harry Kane menyumbat masuk bola muntah daripada sepakan penaltinya -- selepas Raheem Sterling dijatuhkan -- yang ditampan Kasper Schmeichel dalam masa tambahan.

Pasukan Hjulmand itu mendahului hasil gol sepakan percuma gemilang Mikkel Damsgaard tetapi gol sendiri Simon Kjaer telah membenarkan England menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Walaupun mereka tewas dalam penentuan ke final itu, Hjulmand hanya ada perasaan bangga dengan apa yang telah dipamerkan pasukannya dan yakin kejayaan akan menanti mereka pada masa akan datang.

"Amat jelas ia adalah kekecewaan yang besar kerana kami terlalu hampir untuk ke final dan perbezaan dalam perlawanan ini bermakna kami tidak dapat mengambil langkah terakhir," katanya dalam sidang media.

"Ia merupakan sesuatu yang luar biasa berdasarkan apa yang pemain saya telah lakukan. Terdapat kekuatan luar biasa dalam pemain-pemain ini. Mereka bermain bola sepak dengan cara yang menakjubkan.

"Kita bercakap mengenai serangan, menjaringkan gol dan menunjukkan siapa kami yang sebenarnya. Pemain ini telah memberikan segala-gala yang mereka ada -- di dalam dan di luar padang.

"Kami mempunyai pasukan yang menyelamatkan nyawa salah seorang pemain kami. Saya amat gembira buat negara kami, kami pasukan yang bagus, dikasihi ramai dan kami menerima segenap sokongan.

"Kami amat beremosi, kami mungkin dapat ke final tetapi masih ada peluang baru selepas ini. Saya melihat masa depan dengan penuh harapan. Kita boleh berbangga dengan pemain-pemain ini.

"Satu-satunya kekecewaan kami adalah tidak dapat ke final. Kami boleh mencapai kejayaan yang lebih hebat dalam kejohanan besar lain selepas ini," katanya.