Eden Hazard gusar dia akan disahkan mengalami kecederaan paha serius selepas membantu Belgium menyingkirkan juara bertahan, Portugal, dalam pusingan 16 Euro 2020 awal pagi tadi, sambil ketua jurulatih, Roberto Martinez, juga masih menunggu laporan kecederaan Kevin De Bruyne.

Belgium menenggelamkan Cristiano Ronaldo ketika menewaskan Portugal 1-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir tetapi perlu membayarnya dengan harga mahal selepas Hazard dan De Bruyne dilihat terhincut-hincut meninggalkan padang dalam perlawanan itu.

Gol jarak jauh Thorgan Hazard memastikan pertemuan mereka dengan Itali dalam suku akhir tetapi mungkin perlu menghadapi pasukan yang sedang berada di prestasi terbaik itu tanpa Eden Hazard (cedera hamstring) dan De Bruyne (buku lali).

Selepas perlawanan itu, Eden Hazard -- yang kerap dilanda kecederaan sejak menyertai Real Madrid pada 2019 -- berkata kepada wartawan: "Saya tercederakan diri saya, saya dapat rasakan sesuatu di hamstring saya.

"Saya fikir saya cedera. Kami perlu melihatnya esok, kami akan menganalisis kecederaan ini dan melihat keadaannya selepas itu.

"Sebagai kapten, saya mahu kekal berada dalam pasukan ini kerana saya ada peranan penting untuk dimainkan," katanya

Terjahan Joao Palhinha pada minit ke-45 menyaksikan bintang Belgium, De Bruyne, terpaksa dikeluarkan pada awal babak kedua dan Martinez menambah: "Ia memerlukan 48 jam untuk menilai situasi dua pemain ini.

"Kami akan kembali ke Belgium dan mereka perlu menjalani imbasan mengenai kecederaan masing-masing esok.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai keadaan mereka. Tentang Kevin, ia mengenai buku lalinya -- dia tidak dapat meneruskan aksi dalam babak kedua.

"Tentang Eden pula, ia masalah otot tetapi kami perlu menunggu diagnosis," katanya.