Leonardo Bonucci mencipta rekod baru ketika menjaringkan gol penyamaan Itali untuk mengikat England sehingga ke penentuan penalti dalam final Euro 2020 awal pagi tadi, di mana dia menjadi penjaring gol tertua dalam sejarah final Kejohanan Eropah.

Lebih manis, jaringan itu turut memberikan Itali kegembiraan berganda apabila dinobatkan juara selepas memenangi penentuan penalti 3-2.

Pertahanan tengah Juventus itu, yang berusia 34 tahun dan 71 hari, menyumbat masuk gol penyamaan dari jarak dekat pada minit ke-67 di Stadium Wembley, sekali gus memadamkan gol pembukaan Luke Shaw pada awal permainan.

Bonucci, yang melakukan penampilan pertama bersama Itali pada 2010, turut menjadi pemain Eropah kedua tertua menjaringkan gol dalam kejohanan utama di belakang rekod yang dilakukan Nils Liedholm (35 tahun 264 hari) buat Sweden ketika menentang Brazil dalam Piala Dunia 1958.

Dia juga melakukan penampilan ke-18 dalam Kejohanan Eropah bagi mengatasi rekod Gianluigi Buffon (17) sebagai pemain Itali yang melakukan penampilan terbanyak dalam saingan itu.