Cristiano Ronaldo akan menjadi pemain tumpuan awal pagi ini tetapi Roberto Martinez mengatakan Belgium tidak sekadar fokus kepada bintang Portugal itu.

Ronaldo menyamai rekod 109 gol antarabangsa Ali Daei dengan dua sepakan penalti ketika menentang Perancis untuk Portugal mara ke peringkat kalah mati Euro 2020.

Begitupun, Martinez menegaskan bahawa bintang Juventus itu tidak akan diberi perhatian khusus dalam pertembungan 16 mereka itu.

"Apabila anda membuat perancangan mengekang pemain tertentu, anda boleh dihukum oleh pemain lain," kata ketua jurulatih Belgium itu dalam sidang akhbar.

"Corak permainan Portugal membuktikan mereka mampu menjelmakan bermacam ancaman, mereka memiliki ramai pemain deras.

"Sudah semestinya Cristiano Ronaldo mempunyai naluri, hantaran dan peluang yang tepat jadi kami harus terus peka, tetapi kami memantau 10 pemain Portugal yang lain atas kapasiti yang sama.

"Kami perlu kompak, kami harus benar-benar mantap dan kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan.

"Jelas sekali kami akan memikirkan tentang (keupayaan) seteru dan ia akan menjadi sandaran, kami perlu mempunyai maklumat itu semua tetapi saya rasa kami mempunyai momentum yang sangat baik dan di situlah kami berikan tumpuan."




Pintu gol Belgium hanya bocor sekali dalam tiga kemenangan mereka di peringkat kumpulan, tetapi alasan utama mereka untuk bersikap optimis disebabkan kembalinya Kevin De Bruyne.

Selepas cepat pulih daripada kecederaan yang dialaminya dalam di final Liga Juara-Juara, bintang Manchester City itu bermain hampir sepanjang perlawanan ketika menentang Denmark selepas menjaringkan gol ketika kembali beraksi sebagai pemain gantian untuk menghadapi Denmark.

"Kevin, sangat senang melihatnya beraksi semula selama 45 minit kemudian hampir 90 minit, jadi saya berasakan dia kini dalam keadaan fizikal yang sempurna untuk menghadapi pertembungan ini," kata Martinez lagi.

"Kevin akan memainkan peranan normal, berpengaruh. Dia bukan pemain yang perlu beraksi di posisi tertentu. Kami perlu memberinya peluang untuk menjadi arkitek gerakan dengan penguasaan bola yang kami miliki.

"Kita harus bersabar ketika menghadapi sebuah pasukan mantap, tersusun dan pertahanan kental Portugal.

"Kami akan terapkan apa yang sering kami lakukan."