Disangkakan krisis Liga Super Eropah (ESL) sudah selesai, rupa-rupanya masih ada dalang tersembunyi.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, mengumumkan bahawa 12 kelab yang bersetuju untuk membentuk liga pesaing di Eropah itu telah menandatangani satu kontrak yang sudah pun termeterai dan mereka tidak boleh keluar daripadanya.

Sembilan daripada 12 pasukan tersebut, termasuk kesemua enam kelab Liga Perdana Inggeris, telah menarik diri daripada ESL Selasa lalu setelah menerima hentaman teruk daripada peminat bola sepak seantero dunia.

Real Madrid, Barcelona dan Juventus pula masih tetap kekal dengan projek tersebut.



Dalam satu temu bual bersama akhbar Sepanyol, AS, Perez dipetik sebagai berkata: "Saya rasa saya tak perlu nak jelaskan apakah itu kontrak yang termeterai, tetapi secara efektifnya, kelab-kelab yang lain tidak boleh meninggalkan projek ini.

"Memang ada kelab yang berhasrat untuk berundur akibat tekanan yang diterima tetapi projek ini akan tetap terus dijalankan tidak lama lagi."

Perez turut menidakkan ura-ura bahawa bank pelaburan Amerika Syarikat, JP Morgan, yang sudah menyediakan dana sebanyak £3.5 billion (RM174 billion) telah turut sama mengabaikan projek Liga Super Eropah ini.

"JP Morgan cuma mengambil sedikit masa untuk berfikir, sama seperti 12 kelab yang terlibat.

"Jika kami berasakan yang perubahan perlu dilakukan, kami akan buat perubahan, tetapi hakikatnya, Liga Super Eropah adalah projek terbaik yang pernah dirancang dalam sejarah," ujar Perez lagi.

Sementara itu, pemilik kelab Chelsea, Roman Abramovich, serta lembaga tertinggi kelab Chelsea mengumumkan yang mereka cukup kesal dengan keputusan mereka untuk menyertai ESL yang penuh kontroversi itu.

Dalam temu bual bersama stesen televisyen BBC, Abramovich mendedahkan bahawa Chelsea pada awalnya bersetuju untuk menyertai liga tersebut kerana tidak mahu ketinggalan dengan seteru-seteru mereka yang lain, sama ada seteru domestik mahupun seteru Eropah.

"Namun, keputusan itu cukup kami kesali.

"Kami sedar yang penyertaan kami hanya akan menghancurkan reputasi kelab yang telah kami bina selama bertahun-tahun kebelakangan ini.

"Selepas membuat keputusan untuk berundur, kami telah meluangkan masa untuk bercakap dengan pelbagai kumpulan penyokong Chelsea yang berbeza demi mendengar pendapat dan kegusaran mereka.

"Matlamat kami tidak pernah berubah, iaitu untuk menjadikan Chelsea kelab terbaik di dunia, tidak kira di dalam atau di luar padang," tambah Abramovich lagi.

Biarpun Perez kedengaran masih begitu positif yang ESL akan berjaya, pendapatnya itu ternyata tidak disokong sama sekali oleh antara tokoh paling berpengaruh dalam kancah bolasepak terkini; Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.



Dalam temu bual bersama akhbar The Daily Mail, Ceferin mengibaratkan Real Madrid, Barcelona dan Juventus seperti 'puak yang percaya bumi ini berbentuk rata' dan memberikan petunjuk bahawa kelab-kelab ini mungkin akan disingkirkan secara automatik daripada Liga Juara-Juara Eropah musim depan jika mereka masih lagi berdegil untuk meneruskan projek yang penuh tamak haloba itu.