Kejayaan Korea Selatan menjulang gelaran Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) perlu diberi perhatian serius dalam persaingan merebut slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Korea Selatan sebelum ini 'hilang' daripada radar hoki dunia terutama selepas gagal ke Piala Dunia 2018 dan tidak layak mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018.

Ranking mereka juga jatuh ke No. 17 dunia setelah dua dekad pernah menghuni kelompok 10 terbaik dunia sebelum ini.

Bagaimanapun, saya melihat Korea Selatan di ambang kebangkitan dengan menampilkan wajah-wajah berbeza pada PSAS kali ini seperti sedang berlakunya satu transformasi dalam pembikinan pasukan baharu.

Korea Selatan mengekalkan tonggak-tonggak senior seperti Jang Jonghyun, Jung Manjae, Lee Nam Yong, Hong Eunsong dan Lee Seungil, selebihnya membariskan pemain-pemain muda yang bertenaga.

Campuran pemain ini memperlihatkan satu skuad yang mempunyai kecergasan fizikal, disiplin dan komitmen tinggi jelas kelihatan dalam saingan edisi ke-28 ini.

Korea Selatan menjuarai gelaran PSAS ketiga mereka kali ini tanpa merekodkan sebarang kekalahan daripada lima aksi peringkat round robin dan final.

Saya ada bertanyakan kepada ketua jurulatih Korea Selatan, Shin Seok Kyo iaitu apa yang beliau telah lakukan kepada pasukan ini hingga memperlihatkan peningkatan ketara.

Jawapannya ringkas iaitu 'fitness, fitness dan fitness'.

Berdasarkan prestasi mereka ketika ini, saya tidak meragui dan menganggap era kebangkitan Korea Selatan telah bermula.

Sudah tentu gergasi Asia ini tidak rela terlepas satu lagi kejohanan besar iaitu Sukan Olimpik 2020 setelah kempunan untuk beraksi pada Piala Dunia 2018.

Saya percaya dengan budaya Korea Selatan yang mahukan sesuatu kejayaan, mereka akan memberikan komitmen penuh dan sanggup berkorban apa sahaja bagi memastikan keinginan itu tercapai.

Jadi, pasukan-pasukan lain perlu berwaspada dengan kemampuan yang mampu ditonjolkan oleh Korea Selatan selepas ini lebih-lebih lagi semua pasukan pastinya mahu layak ke Sukan Olimpik 2020 menerusi fasa kelayakan dalam tahun 2019 ini.