Demikian meluap-luapnya amarah penyokong Borussia Dortmund terhadap penamatan kontrak Thomas Tuchel selaku pengurus Selasa lalu hingga kelab itu terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi bagi meredakan keadaan.

Seiring dengan pengumuman itu, bekas pengurus Ajax, Peter Bosz, dinamakan sebagai pengganti tapi ia tidak akan mudah untuk warga Belanda itu mengisi kasut besar yang ditinggalkan oleh Tuchel bagi cabaran musim depan.

Kemarahan penyokong dengan beredarnya Tuchel dari Signal Iduna Park bukannya tidak bersebab.

Tuchel meninggalkan BVB selepas menabur bakti selama dua tahun dan pengumuman mengenai keputusan kelab melepaskannya pergi dibuat hanya tiga hari selepas kelab itu memenangi DFB Pokal atau Piala Jerman.

Terlerainya ikatan Tuchel dengan Dortmund adalah kemuncak kepada ketegangan hubungannya dengan ketua eksekutif kelab, Hans-Joachim Watzke, gara-gara perselisihan selepas insiden bas pasukan rosak terkena letupan bom pada hari perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Monaco di halaman sendiri 11 April lalu.



(CAPTION:) Dari kiri, Tuchel, Watzke dan Zorc jarang dapat bertentang mata.

Tuchel ketika itu mendakwa dia dan pemain-pemainnya tidak diajak berunding sama ada mereka bersedia meneruskan perlawanan itu kurang 24 jam berikutnya – sesuatu yang dinafikan Watzke – yang menyaksikan Dortmund tewas 3-2 dan terkeluar daripada saingan.

“Saya berterima kasih kepada dua tahun yang menarik dan sarat peristiwa,” kata Tuchel menerusi akuan Twitternya, Selasa lalu, “Adalah malang ia tidak dapat diteruskan.”

“Terima kasih kepada penyokong, pasukan, staf dan semua yang menyokong kami,” katanya, dan ia menjadi isyarat buat penyokong bangkit memprotes, dengan Watzke menjadi sasaran utama amarah mereka.

Watzke, dalam surat terbukanya kepada penyokong mempertahankan keputusannya: “Bukan hanya keputusan yang jadi keutamaan. Apa yang juga penting adalah nilai-nilai asas seperti kepercayaan dan rasa hormat.

“Dengan Thomas Tuchel mengemudi pasukan, Dortmund menikmati dua tahun yang jaya, dengan sasaran sukan kami dapat dicapai.

“Tapi saya dan pengarah sukan, Michael Zorc, lazimnya tidak boleh bertentang mata dengannya sepanjang tempoh itu. Lantaran itu, selepas perbincangan menyeluruh, kami memutuskan langkah terbaik ialah untuk tidak meneruskan kerjasama dengan staf kejurulatihan ini melepasi musim 2016/17. Keputusan bersama ini mendapat persetujuan sebulat suara semua jawatankuasa dalam kelab.”

Tuchel mengambil alih teraju pasukan daripada Klopp pada musim panas 2015, dengan mengemudi Die Schwarzgelben ke tangga kedua dalam Bundesliga, mara ke final DFB Pokal – tewas hanya 4-3 menerusi sepakan penalti kepada Bayern Munich setelah terikat 0-0 -- dan suku akhir Liga Europa pada musim itu apabila tewas 5-4 secara agregat kepada Liverpool.

Musim ini pula, musim keduanya menemudi pasukan, BVB menjuarai DFB Pokal dengan kemenangan 2-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam final – mengakhiri kemarau lima tahun kelab itu tanpa sebarang gelaran -- tangga ketiga dalam Bundesliga dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Setelah sebelumnya mengendalikan Mainz, Tuchel meninggalkan Signal Iduna Park dengan rekod tanpa sebarang kekalahan dalam Bundesliga di tempat sendiri.

Hierarki tertinggi kelab akan sentiasa berterima kasih kepadanya kerana membentuk Dortmund menjadi antara pasukan muda terbaik di Eropah dengan menampung kehilangan Mats Hummels, Ilkay Gundogan dan Henrikh Mkhitaryan pada musim panas lalu – di sebalik dijanjikan bukan semua ketiga-tiganya akan dijual.

Tidak hairanlah kewibawaannya akan terus dirindui penyokong yang tidak akan berhenti-henti mencemuh Watzke jika pencapaian bekas pengurus itu gagal diatasi atau sekurang-kurangnya diulangi.