Manchester United harus banyak mengundang senyuman di sekelilingnya – Red Devils kini di tangga kelima dengan 52 mata dan berbaki satu perlawanan dalam tangan.

Tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan semakin jelas dalam penglihatan tapi anehnya pengurus, Jose Mourinho, dalam keadaan gundah-gulana.

Akhbar-akhbar British mengamati bos United itu bukan lagi murah dengan senyuman dan tidak lagi petah dengan selorohnya pada waktu dia harus lebih menguntum senyum.

Sebaliknya, pada pengamatan mereka, ‘The Special One’ lebih kerap merungut dan mendesah di sebalik kelab bimbingannya sedang meniti dan memanjat carta liga.

Apabila pengurus berbangsa Portugis itu pertama kali tampil dalam Liga Perdana Inggeris, dia umpama tiupan udara segar.

Dia banyak melemparkan senyuman, kerap berceloteh, malah dia agak angkuh tapi dengan cara yang baik.

Kini, dahinya sentiasa berkerut, marah-marah dan sentiasa mahu mencari gaduh dengan seseorang dan sesiapa saja.

Ringkasnya, dia selalunya bermuram-durja.

Bola sepak sepatutnya menyeronokkan tapi Mourinho seakan-akan tidak lagi menikmatinya. Dia menjadi seorang perengus, pemarah dan mudah panas baran.

Namun, apa jua yang menjadi rungutan atau keluh-kesahnya harus difahami kerana dia sentiasa mahu menjadi seorang pemenang -- itu dah memang sifat semulajadinya.

Lagipun, sentiasa ada dalil di sebalik semua itu, sama ada untuk menutup kehambaran pasukannya, keberangannya terhadap pengadil, gelagat jurulatih lawan mahupun penyokong pasukan lain yang dirasakan tidak menghormatinya.

Tanpa elemen-elemen itu pun, Mourinho mudah memilih untuk bertegang urat dengan wartawan.

Dalam pada itu, seperti diamati oleh akhbar-akhbar British, dia pernah melakukan semua itu ketika musim pertamanya di England tapi masih mampu melontarkan senyuman.

Kini, dia sudah berubah menjadi seorang pemarah dan perengus.

Di Chelsea, Mourinho adalah idaman editor apabila dia mengumpamakan dirinya sebagai ‘The Special One’ dalam tempoh pertamanya di Stamford Bridge, kemudian dalam tempoh keduanya, dia mengibaratkan dirinya ‘The Happy One’.

Sejak pengurus berusia 54 tahun itu menggantikan Louis Van Gaal menjelang permulaan musim ini, media menagih jolokan baru daripadanya tapi dia enggan menuruti permainan mereka.

Tapi, dalam temubual dengan majalah France Football baru-baru ini, dia akhirnya mengalah dengan menggelar dirinya ‘The Calm One’ (Si Tenang).

“Semua orang ternanti-nanti untuk saya menimbulkan masalah. Tapi satu-satunya masalah daripada saya setakat ini ialah apabila saya menyepak sebotol air di depan saya.

“Saya dibuang padang dan terpaksa membayar denda kerana itu. Itulah masalah saya, apabila saya sedikit kecewa, saya akan menyepak botol air. Jadi, saya sudah menjadi ‘The Calm One’.”

Jelaslah, dia benar-benar seorang enigma.

Barangkali juga ia enigma yang ditagih United untuk keluar daripada kemurungan selepas era Alex Ferguson.