Selepas permulaan suram juara bertahan, Jerman, yang tewas 1-0 kepada Mexico, finalis Piala Dunia 2014, Argentina, turut gagal mencipta kemenangan apabila sekadar seri 1-1 berdepan Iceland.

Sementara itu, Brazil juga gagal memungut tiga mata berdepan Switzerland manakala pasukan kegemaran penulis, England, membuka tirai dengan langkah kanan apabila berjaya menumbangkan Tunisia dengan keputusan 2-1.

Penulis, yang menyaksikan perlawanan secara langsung di saluran Astro Supersport, ternyata teruja melihat persembahan bertenaga dipamerkan England terutama sekali jentera serangan.

Perlawanan yang berlangsung di Arena Volgograd itu menyaksikan ketua pasukan, Harry Kane, meledakkan dua gol untuk mengikuti rapat Cristiano Ronaldo (3 gol) dan Romero Lukaku (2 gol) dalam senarai penjaring.

Skuad The Three Lions yang merupakan skuad ketiga termuda dalam saingan Piala Dunia Rusia 2018 ini diletakkan dalam kumpulan G dan kemenangan pertama itu ternyata mencerahkan peluang mereka untuk layak ke pusingan kalah mati biarpun belum berdepan Belgium dan juga Panama lagi.

Pengendali England, Gareth Southgate, ternyata berpuas hati dengan kesebelasan utama yang diturunkan dengan hanya Ashley Young yang merupakan pemain senior dan selebihnya adalah kudrat muda seperti Jordan Pickford, Kyle Walker, John Stones, Delle Alli, dan Jesse Lingard.

Mendominasi 60% perlawanan secara keseluruhan, jentera serangan England dilihat ampuh dengan melakukan sembilan percubaan tepat ke gawang Tunisia.

Hanya sepakan penalti yang diperolehi Tunisia sedikit mencacatkan persembahan baik yang dipamer England.

Selepas ini, Harry Kane dan rakan-rakan akan berdepan Panama pada Ahad ini dan Belgium pada 28 Jun, di mana kemenangan ke atas Panama akan menentukan hala tuju skuad England dalam Piala Dunia kali ini.

Setelah begitu banyak cerita England di Piala Dunia berakhir dengan kisah duka, penulis amat berharap agar edisi di Russia ini akan menjadi satu edisi yang memberikan sesuatu yang istimewa buat England seperti mana pada 1966.