Three Lions kini berada di landasan paling tepat untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia Russia setelah kali terakhir melakukannya pada 1966. Setelah mengharungi begitu banyak Piala Dunia yang berakhir dengan cerita duka, Piala Dunia 2018 ini dilihat merupakan detik terbaik untuk melihat kembalinya Piala Dunia ke bumi England. Kerana apa?


Faktor Anak Tempatan

Sven Goran Eriksson dan Fabio Capello antara jurulatih luar yang dibawa masuk untuk memberikan sinar kejayaan kepada skuad England. Namun, kali ini, FA England dilihat bertekad menggunakan tenaga anak tempatan yang juga merupakan bekas pemain England, Gareth Southgate. Seorang individu muda yang berani menolak nama besar seperti Joe Hart dan Jack Wilshere, Southgate juga membawa skuad muda ke Piala Dunia selain pemain yang 100% beraksi di dalam England. Ini menjadikan skuad England kali ini betul-betul England lah!


Korban Rekod Dengan Belgium

Dikritik oleh beberapa bekas lagenda England seperti Gary Lineker atas keputusan sengaja tidak mahu menang berdepan Belgium, Gareth Sothgate dilihat mahu lebih positif dan memandang masa hadapan. Beliau tidak mengambil pusing akan rekod pertemuan kerana ia hanyalah sekadar sejarah. Apa yang lebih penting adalah laluan England di peringkat kalah mati. Muncul pasukan di kedudukan kedua dalam Kumpulan G, keputusan tewas kepada Belgium dilihat satu pilihan tepat memandangkan Belgium sendiri sudah terkeluar dalam persaingan ke final. Berdepan Colombia dan Sweden menyaksikan Three Lions berjaya mencatatkan kemenangan untuk ke separuh akhir berdepan Croatia


Perlu Bijak Ambil Kesempatan

Kehebatan Croatia memang tidak boleh dipertikaikan, namun jika dilihat dalam pertandingan singkat seperti Piala Dunia, pasukan Croatia mempunyai beberapa kuda tua yang tidak mampu bertahan sehingga 120 minit. Lihat sahaja sewaktu mereka berdepan Russia, dari penjaga gol Subasic hingga ke penyerang, Mario Mandzukic, dilihat bergelut dengan faktor kecergasan. Malah, mereka juga sudah dua kali beraksi dalam perlawanan dengan masa tambahan. Lawan mereka, England merupakan skuad ketiga termuda pada Piala Dunia 2018. Dengan pemain yang mempunyai kepantasan serta bertenaga, skuad England perlu bijak menggunakan kelebihan yang ada untuk membawa mereka ke pentas final.

Dengan slogan dan lagu “It’s Coming Home” sudah mula dinyanyikan oleh peminat England di seluruh dunia, penulis percaya, kali ini adalah masa paling sesuai buat Harry Kane, Jordan Henderson, Ashley Young, John Stones, Raheem Sterling dan rakan-rakan memberikan sehabis baik untuk membawa skuad England beraksi di pentas final.