Perak, Terengganu, Kedah atau Pahang, pasukan manakah yang akan bergelar naib juara Liga Super 2018?

Sukar saya untuk meramalkan memandangkan keempat-empat pasukan itu memiliki peluang seimbang untuk muncul pasukan kedua terbaik Liga Super musim ini dan kini, ia akan ditentukan dalam empat perlawanan terakhir.

Perak The Bos Gaurus.

Pasukan yang mendahului persaingan merebut takhta nombor dua dengan kelebihan satu mata di tangga kedua. Namun, tiada jaminan buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic untuk mengekalkan kedudukan mereka sehingga ke garisan penamat.

Juara liga 2002 dan 2003 ini mempunyai baki dua perlawanan tempat sendiri dan dua perlawanan tempat lawan dengan pertemuan menentang Pahang di Ipoh Sabtu ini akan menjadi penentu awal peluang mereka untuk memenangi perebutan itu.


Jika keciciran mata berdepan skuad Tok Gajah, peluang Perak tampak tipis kerana bakal memberi laluan kepada lawan untuk memintas kedudukan selain perlu berdepan satu lagi pasukan handalan, Kedah dalam aksi kedua terakhir liga.

Terengganu FC TFC.

Dalam diam, Terengganu turut tampil sebagai pencabar kedudukan nombor dua liga di penghujung saingan selepas cemerlang mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir untuk melonjak ke tangga ketiga liga.

Ketinggalan satu mata di belakang Perak dengan 30 mata, peluang skuad Peteh untuk mengetepikan persaingan tiga pencabarnya juga belum dapat dipastikan kerana berdepan tiga aksi tempat lawan dalam empat perlawanan terakhir.

Sudah pasti, ia tugasan sukar buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk memungut sembilan mata maksimum di tempat lawan kerana PKNS FC, Kedah dan Selangor juga bukan pasukan yang mudah untuk dijinakkan.

Kedah Lang Merah.

Kekalahan mengejutkan kepada Melaka tempoh hari meletakkan skuad Lang Merah berada dalam situasi sukar untuk mengejar kedudukan kedua liga kerana perlu berdepan tiga pasukan teratas dalam empat perhitungan terakhir.

Bermula pertemuan menentang Johor Darul Takzim yang baru sahaja dinobatkan juara Liga Super musim ini, anak didik Nidzam Adzha Yusoff kemudian akan bertemu Perak dan Terengganu sebelum menutup liga menentang PKNP FC.

Tatkala lawan yang menanti cukup mencabar, tiga daripada empat perlawanan terakhir di laman sendiri mungkin memberi sedikit peluang buat Kedah untuk mencerahkan peluang mereka bagi merebut takhta nombor dua itu.

Pahang Tok Gajah.

Penentu awal peluang Pahang untuk muncul naib juara Liga Super bagi mengulangi pencapaian musim lalu adalah bergantung kepada keputusan perlawanan menentang Perak seperti yang dinyatakan di atas.


Ini kerana, hanya The Bos Gaurus dilihat sebagai lawan paling kuat dalam empat perlawanan terakhir mereka jika hendak bandingkan dengan Melaka, PKNS FC atau pun Kelantan sekali pun tidak boleh dipandang sepi.


Namun, bezanya skuad bimbingan Dollah Salleh sedikit ketinggalan dalam persaingan itu kini dan timbul persoalan mengenai keghairahan mereka untuk merebut gelaran nombor dua itu setelah berjaya merangkul kejuaraan Piala FA baru-baru ini.

Jelas, berdasarkan apa yang diperincikan, saya berasakan tiada pasukan yang mempunyai kelebihan selesa untuk memenangi perebutan yang menawarkan slot ke saingan Piala AFC ini, sebaliknya mereka perlu terus bersaing dari satu perlawanan ke satu perlawanan hingga aksi terakhir nanti.

Empat perlawanan, penentu empat pasukan.

Imej: Asiana