Sejak terpaksa berputih mata dalam dua edisi final Piala Dunia pada 1974 dan 1978, akhirnya Belanda melangkah ke pentas akhir saingan berprestij itu untuk menebus kehampaan pada 2010.

Namun, kehampaan tetap menjadi milik Oranje yang dibimbing oleh pengendali terkini Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert Van Marwijk, selepas tewas 1-0 kepada Sepanyol hasil jaringan masa tambahan Andres Iniesta.



Bagaimanapun, selepas sembilan tahun, salah seorang pemain Belanda, Ryan Babel, mengimbau kembali kempen Piala Dunia 2010 dengan pendedahan yang mungkin mengejutkan banyak pihak.

Babel -- yang merupakan salah satu nama yang memperkuatkan Belanda ketika saingan di Afrika Selatan pada 2010 serta kini menjadi tonggak utama di sebalik kecemerlangan Oranje dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA dan kelayakan Euro 2020 -- mendakwa terdapat empat nama yang menyebabkan kegagalan mereka menjulang trofi terulung itu, sembilan tahun lalu.

"Anda terpaksa bertarung dengan empat 'nama besar' ketika itu. Pada pengalaman saya, mereka berempat ingin menjadi nombor satu dalam skuad," kata Babel kepada Voetbal International, merujuk kepada Wesley Sneijder, Robin Van Persie, Arjen Robben dan Rafael Van Der Vaart.

Penggempur Galatasaray itu berpendapat pasukan Belanda kini tidak memiliki elemen ego dalam setiap pemain dan tiada satu nama pun yang melebihi daripada keampuhan semangat berpasukan dalam skuad.



Dia juga mendedahkan insiden dalam final Piala Dunia 2010, di mana Robben hanya perlu menjatuhkan badan ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas, dan Babel melihat pemain sayap itu hanya mahu memahatkan nama dalam senarai penjaring berbanding memikirkan keperluan pasukan.

"Perkara sebegitu membuatkan kami hanya kekurangan lima peratus untuk bergelar juara dunia," tambahnya.

Dakwaan Babel itu mungkin ada asasnya.

Selepas era keempat-empat nama pemain yang dinyatakan itu berakhir, Belanda -- berbekalkan pemain muda seperti Matthijs De Ligt, Frenkie De Jong, Denzel Dumfries dan Steven Bergwijn -- mencuri tumpuan selepas melangkah ke final Liga Negara-Negara UEFA walaupun terpaksa berdepan cabaran dua pemenang terakhir Piala Dunia, Jerman dan Perancis, di peringkat kumpulan.



Malah, ketika ini, skuad Oranje yang menerima sentuhan legenda, Ronald Koeman, selaku pengendali telah meraih tiga kemenangan daripada empat kali beraksi dalam kelayakan Euro 2020, termasuk kejayaan menundukkan Jerman 4-2 di Volksparkstadion, minggu lalu.

Justeru, pendedahan Babel itu mempunyai asas yang kukuh tetapi dalam masa sama, seluruh pasukan ketika ini berdepan cabaran sebenar untuk memastikan Belanda kembali bergelar gergasi dunia atau empat 'orang lama' itu hanya menghitung masa untuk bergelak sesama mereka.