Waktu Malaysia mengesahkan pingat emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi chinlone saya baru sudah berbicara dengan veteran ping pong negara Ng Sock Khim.

Bagi yang mengikuti perkembangan sukan ini, anda tahu siapa Sock Khim, bagi yang tidak, pengalaman dia di pentas Sukan SEA bermula sejak edisi Brunei 1999.

Jangan pernah terpedaya dengan susuk tubuh kecil Sock Khim kerana di gelanggang pertandingan mahupun latihan dia antara yang paling garang.

Penghormatan yang saya ada pada atlet ini cukup istimewa dan atas dasar itu saya lebih selesa membahaskan dirinya kakak berbanding namanya.

Pada 2015 saya lihat Sock Khim hampir merealisasikan impian untuk dikalungkan emas sukan serantau ini sebelum tewas dalam pertembungan final perseorangan.

Sejak mula jatuh cinta dengan sukan ini pada usia muda, mengikut jejak langkah kakaknya Ng Sock Chin di SJKC Mah Wah Gurun Kedah, KL 2017 akan menjadi Sukan SEA terakhir dia.

Bersembang dengan dia ketika itu buat saya sebak mengenangkan Malaysia akan hilang khidmat seorang atlet yang cukup berpengaruh tidak lama lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Sock Khim dan seluruh skuad ping pong yang akan beraksi di MITEC bermula 20 Ogos ini.

Kakak, buat anda, saya kirimkan doa agar emas Sukan SEA yang menjadi sumber aspirasi selama bergelar atlet negara menjadi realiti dalam dakapan kakak di bumi sendiri, untuk diri sendiri, keluarga dan 32 juta rakyat Malaysia.