El Clasico merupakan apa-apa perlawanan melibatkan dua seteru bola sepak Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid. Satu perlawanan yang sentiasa dinantikan peminat bola sepak dunia.

Sejajar dengan reputasi besar kedua-dua pasukan tersebut, pertemuan ini dilihat sebagai satu penanda aras menentukan pasukan mana yang lebih baik di antara mereka.

Sejak tahun 2007, muncul dua individu yang membuka lembaran baru bola sepak di Sepanyol.

Mereka diiktiraf dua pemain terbaik sezaman yang pernah dilahirkan dalam dunia bola sepak.

Mereka adalah Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Dengan adanya dua individu tersebeut, El Clasico bukan hanya berkisarkan perseteruan di antara Barcelona dan Real Madrid tetapi juga perseteruan di antara Messi dan Ronaldo.

Dunia mula membandingkan keupayaan kedua-dua pemain ini khususnya dalam pertembungan kedua-dua pasukan terbabit.

Messi dan Ronaldo sentiasa ada dalam perebutan anugerah Ballon d’Or -- dengan kedua-duannya pernah lima kali dinobat juara selain lima kali diletakkan sebagai naib juara.

Agak sukar menentukan pemain mana yang lebih baik di antara kedua-duanya.

El Clasico juga dilihat sebagai medan terbaik membandingkan keupayaan mereka.

Messi, misalnya, kini merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman pertemuan El Clasico dengan 26 gol, jauh meninggalkan Ronaldo yang berkongsi kedudukan kedua dengan seorang lagi legenda Real Madrid, Alfredo de Stefano, dengan 18 gol.

Namun, hanya Ronaldo mampu menghasilkan kelangsungan jaringan dalam saingan ini dengan dia pernah menjaringkan tujuh gol dalam enam perlawanan El Clasico secara berturut-turut dari 18 januari 2012 (saingan Copa del Rey) sehingga 7 Oktober 2012 (saingan LaLiga).

Terlalu banyak rekod dan sejarah baru yang diraih kedua-dua ikon bola sepak ini dalam EL Clasico.

Mereka seakan-akan sudah sinonim dengan pertembungan itu.

Kini, tiada lagi pertemuan Messi dan Ronaldo dalam kancah bola sepak Sepanyol.

Umum mengetahui, Ronaldo sudah berhijrah ke pasukan Itali, Juventus.

Beliau mengikat kontrak selama empat tahun dengan yuran perpindahan bernilai EUR112 juta (RM537 juta) pada 10 Julai lalu.

Keadaan ini menyaksikan tiada lagi kelibat Ronaldo di pentas El Clasico.

Seakan-akan ditakdirkan, Messi mengalami kecederaan patah tangan kanan dalam pertemuan menentang Sevilla pagi tadi.

Ini mengakibatkan dia terpaksa direhatkan selama tiga minggu, sekali gus dia juga bakal terlepas aksi El Clasico, Ahad depan.

Kecoh di kem Barcelona seakan-akan mereka akan ditimpa bencana besar tanpa Messi.

Kebimbangan itu mungkin ada asasnya.

Barcelona tidak pernah memenangi sebarang pertemuan menentang Real Madrid tanpa Messi sejak penampilan pertama bintang itu pada tahun 2004.

Tanpa kelibat Ronaldo, kini tanpa Messi, saingan El Clasico pasti tidak sama seperti dulu.

Tamatnya era Messi-Ronaldo di Sepanyol melambangkan tiada lagi perbalahan yang boleh dibahas mengenai kemampuan kedua-dua bintang ini di pentas domestik.

El Clasico seakan-akan hilang sensasi tanpa keterujaan menyaksikan sosok dua ikon terhebat bola sepak zaman ini.

Diharapkan kedua-dua pasukan masih mampu memberikan persembahan menarik menjelang pertemuan yang akan berlangsung, Ahad depan.