Penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi, meraih jaringan hatrik pertamanya buat skuad kebangsaan ketika menewaskan Timor Leste 5-1 dalam aksi kedua play-off kelayakan Piala Dunia 2020 & Piala Asia 2023 malam tadi.

Shahrel atau lebih mesra disapa Eky oleh rakan sepasukan, juga merupakan pemain negara pertama meraih hatrik sejak Azman Adnan melakukannya pada 1993 ketika berdepan Macau.

Penulis sebenarnya mengikuti karier pemain berasal dari Setiawan ini sejak dia bersama PKNP FC pada 2016.

Eky pada mulanya lebih kerap beraksi sebagai pemain sayap kiri, kini tampak lebih selesa dan serasi sebagai penyerang kedua, penyerang sokongan atau posisi pemain yang menggunakan jersi nombor 10, sesuai dengan jersi yang dipakainya bersama Harimau Malaya.

Berbeza dengan Safee Sali atau Azman, Eky jelas seorang penyerang yang lebih 'versatile'.

Pada pengamatan penulis, Eky mungkin berjaya membentuk kematangannya ketika tempoh pinjaman selama enam bulan dalam Liga Satu Thailand bersama Nakon Ratchasima musim lalu.

Namun, penulis berasakan Eky perlu meneruskan kerja kerasnya ketika latihan untuk berupaya tampil lebih konsisten bersama skuad kebangsaan.

Meskipun meraih satu gol dalam aksi pertama play-off 6 Jun lalu, kelibat Eky pada perlawanan itu tampak sederhana.

Eky berjaya meningkatkan permainannya dalam aksi kedua dengan Timor Leste dan kerana itu, penulis optimis dia mampu menjadi pemain lebih baik.

Penulis juga berharap, Eky juga bersedia untuk kembali ke kancah Liga Satu Thailand jika mendapat peluang selepas ini bagi mencapai potensi sebenarnya.

Ketika ini, Eky mendapat peluang bersama skuad kebangsaan ekoran kecederaan lutut yang dialami penyerang Johor Darul Takzim, Syafiq Ahmad, ketika aksi pertama dengan Timor Leste.

Penulis berharap, Eky akan tampil lebih ampuh untuk mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe untuk tugasan antarabangsa selepas ini.

Sememangnya jersi nombor 10 kerap disarung pemain ikonik negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan juga Safee sebelum ini.

Penulis berharap, dalam masa terdekat Eky mampu membawa tahap permainannya ke aras lebih tinggi serta menjadikan jersi nombor 10 miliknya untuk tempoh beberapa tahun mendatang.