Atlet menembak negara, Eddy Chew, yakin peluangnya untuk tersenarai ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tetap ada walaupun mengakui gagal mempamerkan persembahan terbaik pada tahun ini.

Dalam tempoh kurang daripada enam bulan sahaja sebelum temasya Sukan Komanwel membuka tirai, beberapa atlet sudah pasti mula mengintai peluang mereka untuk mewakili negara ke Gold Coast.

Eddy sebelum ini pernah beraksi dalam edisi 2014 di Glasgow dan meraih tempat keempat acara 10 meter air pistol dan atlet berusia 22 tahun itu sedar keutamaan akan diberikan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, jadi dia perlu berusaha lebih keras bagi menjamin tempat tahun depan.

"Mengikut temasya sebelum ini, saya berjaya disenaraikan, jadi saya berharap akan tersenarai sekali lagi.

"Buat masa sekarang, saya hanya melalui proses latihan ringan kerana bulan depan akan menghadapi satu kejohanan kecil, kemudian mungkin ke Jepun," katanya.

Dalam masa sama, Eddy melihat kem latihan di Korea Selatan sebelum hadapi saingan Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu banyak membantu meningkatkan prestasinya.

Hasil daripada kem latihan itu berjaya diterjemah apabila skuad menembak negara meraih empat emas, lima perak dan tiga gangsa sekaligus merakamkan pencapaian kedua terbaik di belakang Thailand.

"Setakat ini terdapat banyak peningkatan. Kem di Korea Selatan juga berjaya meraih matlamat yang dimahukan.

"Saya berpuas hati dengan prestasi pada tahun ini, cuma aksi dalam Sukan SEA agak mengecewakan," katanya lagi.