Gelagat Antonio Conte di tepi padang semalam menyaksikan seluarnya terkoyak tapi melebihi semua orang lain, derai ketawanyalah yang paling besar.

Kemenangan 3-1 ke atas Arsenal di Stamford Bridge itu terus menjarakkan The Blues di singgahsana Liga Perdana dengan himpunan 59 mata – sembilan mata mengatasi Tottenham di tangga kedua -- pada ketika pengurus berbangsa Itali itu harus sudah lama pulang sebagai penganggur ke negara asalnya.

Salahkah Conte untuk merayakan momen-momen kegembiraannya semalam?

Ia, terutamanya, berlaku selepas gol kedua Chelsea menerusi larian solo Eden Hazard dari garis tengah padang, lapan minit selepas rehat, yang mencetuskan pincang fungsi almari pakaian (wardrobe malfunction) pengurus itu.

Lentikan badannya ke arah sekumpulan penyokong di belakangnya dalam merayakan jaringan memukau itu menyaksikan seluarnya terkoyak di celah kangkang.

Conte tidak pun peduli sambil menikmati detiknya mengatasi rakan sejawatannya, Arsene Wenger, yang masih menjalani hukuman empat perlawanan duduk di tempat duduk penonton.

Andai diimbas kembali, Arsenal adalah pasukan yang menghampirkannya kepada pemecatan pada awal musim sejurus selepas kekalahan 0-3 di Stadium Emirates pada 24 September 2016. Ia menyusuli satu kekalahan terdahulu 1-2 kepada Liverpool di The Bridge pada 16 September 2016.

Kekalahan kedua berturut-turut ketika itu, yang menempatkan Chelsea di luar jangkauan tempat ke Liga Juara-Juara, segera menimbulkan ura-ura Conte akan dipecat. Malah, firma-firma pertaruhan di London, sudah pun membuka pertaruhan untuk kemungkinan itu berlaku.

Dalam pada itu, kekalahan 3-0 kepada Arsenal itu – menempatkan Chelsea di tangga kelapan dan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City, selepas enam perlawanan – terbukti menjadi titik peralihan buat Conte dan The Blues.

Menyusuli 18 perlawanan selepas Conte beralih kepada sistem tiga bek tengah pilihannya, mereka telah memenangi 18 perlawanan di sebalik tewas di Spurs dan seri di Liverpool.

Hasilnya, Chelsea kembali terlihat sebagai model paling berkesan, dengan N'Golo Kante selaku pengaruh besar bahagian tengah yang tidak mengenai erti penat dan Hazard semakin menonjol sebagai idaman mana-mana pengurus sekalipun.

Cara Conte merayakan jaringan Hazard semalam menyerlahkan betapa besar maknanya kemenangan itu buatnya.

“Ia satu perlawanan penting. Saya anggap Arsenal satu daripada enam pasukan yang mampu mencabar kejuaraan sehingga perlawanan terakhir musim. Untuk meletakkan mereka 12 mata di belakang, teramat penting buat kami.

“Dalam tempoh empat hari, kami mengharungi dua perlawanan berdepan pasukan-pasukan hebat.

“Saya fikir kami telah menunjukkan kami berhak menduduki tangga teratas. Saya sangat berpuas hati dengan pemain-pemain saya yang dalam setiap sesi, telah menunjukkan saya iltizam mereka untuk berjuang dan menjuarai liga ini,” kata Conte seperti dipetik oleh BBC.

Chelsea kelihatan sebagai pasukan untuk sepanjang musim… dan pasukan yang menanti untuk ditabalkan juara Liga Perdana.