Hanya berbaki lapan hari sahaja lagi temasya Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 akan membuka tirai dan sudah pasti semua atlet yang terbabit dengan kontinjen negara sedang giat menjalani persiapan masing-masing.

Antara yang menjadi tumpuan adalah acara berbasikal selepas ia tidak dipertandingkan pada edisi 2015 Singapura.

Susulan penyertaan dalam saingan Paralimpik Rio 2016, skuad berbasikal para negara mula meningkatkan persediaan dengan sasaran utama sudah pasti menghantar lebih banyak wakil untuk edisi seterusnya di Tokyo.

Lantaran itu beberapa kejohanan menjadi tumpuan, antaranya temasya Para ASEAN apatah lagi mereka akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Begitupun peluang Khairul Hazwan Wahab serta Khairul Nizam Mohd Ali untuk bertanding kemungkinan besar tidak menjadi kenyataan berikutan kemalangan yang menimpa mereka sewaktu menjalani latihan di lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Selain mereka, turut terbabit dalam kemalangan itu adalah jurumudi mereka, Mohd Nor Rizuan Zainal dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy, dengan pelbagai kecederaan dialami.

Malah jurulatih, Johari Nayan, juga menjadi antara mangsa selepas mereka dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran susur keluar Tasik Puteri.

Berikutan kecederaan yang dialami pelumba-pelumba berkenaan, harapan untuk menyaksikan kilauan emas bagi acara ujian masa dan lebuhraya kini menjadi samar kerana peluang untuk mereka pulih sepenuhnya sebelum temasya bermula amat tipis.

Insiden yang menimpa mereka ini adalah dugaan yang kedua dialami skuad berbasikal para negara.

Pada Julai, Afiq Afify Rizan serta jurumudinya, Khairul Adha Rasol, turut mengalami kecederaan selepas tayar basikal mereka meletup lalu hilang kawalan sehingga terjatuh di Velodrom Nasional, Nilai.

Penulis yakin apa yang berlaku kepada skuad berbasikal para negara ini tidak akan melunturkan semangat mereka untuk terus kibarkan cabaran negara di temasya Para ASEAN nanti.

Walaupun kini cabaran semakin sukar, kata-kata keramat Kami Luar Biasa pastinya akan terus tersemat di hati mereka demi meneruskan impian rakan-rakan seperjuangan.