Saingan Liga Juara Juara Eropah di antara Atletico Madrid dan Juventus menyaksikan kejutan berlaku apabila skuad bimbingan Massimiliano Allegri tewas mengejut 2- 0 dalam perlawanan yang berlangsung di Madrid. Ironiya, dua gol buat Atletico Madrid hadir dari dua tonggak pertahanan utama Atletico Madrid, Jose Gimenez dan Diego Godin yang juga merupakan sandaran utama bagi skuad kebangsaan Uruguay.

Di awal permainan, skrip nampak sempurna buat Juventus apabila kerap mengasak kubu pihak lawan, Cuma tuah sahaja tidak memihak mereka ditambah kecemerlangan Jan Oblak yang berjaya memastikan gawang Atletico tidak dibolosi. Malah, dua gol Atletico hanya hadir pada penghujung perlawanan dan keputusan ini menyaksikan Cristiano Ronaldo dan rakan-rakannya berdepas misi getir dalam perlawanan timbal balik di Turin nanti.

Diego Simeone tentunya lega dan berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya memandangkan Atletico bukanlah pilihan dalam perlawanan ini, dan mereka berjaya memastikan mereka selangkah kehadapan untuk mara ke peringkat seterusnya dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Bagi Massimiliano Allegri pula, kekalahan 2 – 0 sekurang-kurangnya memberikan peringatan kepada anak-anak buahnya agar kembali bangkit dan tidak memandang mudah cabaran pasukan lawan. Biarpun membariskan kesebelasan utama yang turut disertai Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala, Blaise Matuidi selain pertahanan kental gandingan Giorgio Chellini dan Leonardo Bonucci, semuanya serba tidak menjadi buat mereka. Allegri bagaimanapun berkeyakinan mereka mampu mengatasi defisit dua gol dengan syarat, gol awal mampu dihasilakan dalam perlawanan timbal balik nanti.

Dalam perlawanan lain Liga Juara-Juara Eropah minggu ini,pasukan Lyon berjaya mengikat Barcelona untuk keputusan seri tanpa jaringan. Keputusan sama 0 -0 untuk pertemuan Liverpool dan Bayern Munich manakala Man City muncul wakil kedua dari England yang berjaya mencipta kemenangan selepas menumbangkan Schalke 04 3 - 2. Terdahulu, Tottenham Hotspur menang bergaya ke atas Borussia Dortmund 3 – 0 .