Debaran kumpulan D Piala Malaysia berakhir semalam selepas Selangor dan Melaka tepati ramalan untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan masing-masing.

The Red Giants menewaskan Felda United 2-0 di Jengka untuk ke suku akhir selaku juara kumpulan dan kemaraan itu diiringi Melaka yang muncul naib juara hasil keputusan seri 2-2 bertemu PDRM di Hang Jebat.

Dua pasukan itu meneruskan cabaran bersama lima pasukan lain iaitu Johor Darul Takzim, Kedah, Terengganu, Pahang, Perak tatkala PJ City dan PKNP FC akan berentap pada Jumaat untuk merebut satu lagi slot.

Meskipun aksi peringkat kumpulan belum selesai sepenuhnya, keterujaan peminat bola sepak tanahair untuk perlawanan mendatang terus memuncak selepas melihat pertembungan pasukan-pasukan di pusingan lapan akhir.

Tetapi, tumpuan bakal terarah kepada pertemuan Pahang menentang Melaka apabila dua sahabat baik, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan kembali bertembung di atas padang selepas dua perlawanan Liga Super musim ini.

Mereka bukan sahaja pernah beraksi bersama, malah pernah bergandingan mengendalikan dan menguruskan pasukan bersama dan lebih menarik, kedua-duanya duduk rumah berjiran di Shah Alam!

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini, Dollah lebih menyerlah berbanding Zainal menerusi keputusan seri 1-1 di tempat lawan pada Februari dan kemenangan 4-1 di laman sendiri pada Julai.

Namun, rekod dalam aksi Liga Super tidak boleh dijadikan sebagai ukuran kerana Piala Malaysia merupakan pentas berbeza yang seringkali menjanjikan kejutan kepada peminat bola sepak tanahair.

Selain pertemuan dua rakan karib itu, perlawanan antara Perak dan Selangor turut menjadi perhatian susulan pengendali The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic sekali lagi berdepan dengan bekas pasukannya, Selangor.

Kepulangan Mehmet ke Stadium Shah Alam sememangnya memberi nilainya yang tersendiri apatah lagi, bekas pemain dan jurulatih Selangor itu hadir dengan misi penting untuk dilunaskan iaitu mempertahankan kejuaraan.

Manakala, aksi membabitkan Terengganu FC dan Johor Darul takzim dilihat sebagai perlawanan berprofil tinggi berdasarkan prestasi semasa dan situasi itu sekali gus menyaksikan peluang kedua-dua pasukan untuk mara tampak seimbang.

Sukar untuk saya meramalkan pasukan mana yang akan lolos ke separuh akhir tetapi berdasarkan prestasi semasa, saya menjangkakan pasukan seperti Pahang dan Kedah mampu mara lebih jauh selain JDT atau pun TFC.

Akhir kata, semoga maju jaya buat semua pasukan yang masih meneruskan cabaran musim ini.