Dua nama pemain Thailand, Chanatip Songkrasin dan Sarach Yooyen, pasti tidak akan dilupakan sebahagian besar peminat-peminat bola sepak negara pada Piala AFF Suzuki 2014.

Mereka berdualah menjadi watak penting kepada pemusnah harapan negara pada perlawanan akhir yang menyaksikan Malaysia kecundang agregat 4-3 kepada Thailand walaupun menang 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Songkrasin yang dilabel sebagai Messi J oleh media Thailand sememangnya cukup lincah dan menjadi perancang penting pasukan kebangsaannya semenjak kebelakangan ini.

Malahan, dia difahamkan ada menarik minat kelab Jepun namun belum ada perbincangan secara serius diadakan.

Seorang lagi pemain muda berbakat, Sarach Yooyen juga amat memikat dan mempunyai daya firasat yang tinggi di atas padang.

Berdasarkan maklumat yang diterima, kedua-dua pemain ini berminat untuk beraksi di Liga Malaysia serta sedang mencari pasukan yang mampu menampung permintaan gaji mereka.

Songkrasin yang beraksi di BEC Tero Sassana sedia dilepaskan secara pinjaman atau pemilikan kekal ekoran krisis kewangan makin meruncing.

Manakala Yooyen sedang bermain di Nakhon Ratchasima secara pinjaman daripada Muangthong United.

Jika mereka berdua memilih karier ke Liga Malaysia, ia pasti menjadi satu daya tarikan besar memandangkan nama mereka sudah dikenali dalam kalangan peminat bola sepak.

Skil dan kelincahan Chanatip pasti jadi pujaan peminat terhadap pasukan yang akan diwakilinya manakala Yooyen dikenali sebagai pemain kreatif di atas padang.

Buat pasukan-pasukan di Liga Malaysia, jika mahu memburu pemain import kuota Asia yang setanding dengan pelaburan, dua nama ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Tetapi awas, buat semua persatuan-persatuan bola sepak haruslah ukur baju di badan sendiri terlebih dahulu jika mahu dapatkan pemain-pemain ini iaitu kena punyai kantung kewangan yang kukuh.

Kita tidak mahu di pertengahan atau penghujung musim, mereka merungut soal tunggakan gaji yang pasti jejaskan nama Malaysia di negara jiran kita, Thailand.