Pengumuman kembalinya bekas kapten Harimau Malaya dan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim bersama kelab selatan tanah air itu minggu ini, melengkapkan barisan ampuh skuad kendalian Benjamin Mora menghadapi saingan Liga M 2021.

Tidak salah kalau penulis melabelkan JDT mempunyai pasukan impian atau 'Dream Team' menghadapi saingan musim ini jika dilihat kepada 'squad depth' barisan mereka.

Mungkin ada segelintir pemerhati berpendapt pemain seperti Safiq sudah melepasi tahap terbaiknya dengan usia kini menjangkau 33 tahun.

Tetapi penulis yang mula membuat liputan pemain yang berasal dari Kuala Selangor itu sejak saingan AFC Bawah 19 Tahun 2004, berasa dia masih mempunyai kualiti dan pengalaman yang mampu menambah kekuatan JDT.

Kemasukan pemain baru lain seperti Mohamadou Sumareh, Daniel Amir Norhisham serta kemunculan ubi muda seperti Ramadan Saifullah jelas melengkapkan lagi Dream Team JDT musim ini.

JOHOR DARUL TA'ZIM FC 2021 SQUAD Hidup Johor Demi Johor #HarimauSelatan #SouthernTigers #PermataSelatan #JewelOfTheSouth #JDTuntukSemua #JDTforAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, February 10, 2021


Sudah pasti JDT bakal dicanang sebagai pilihan utama untuk meraih kejuaraan Liga Super Malaysia (MSL) buat kali kelapan berturut-turut dan mungkin juga Piala Malaysia musim ini.

Bagi penulis, saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah cabaran utama JDT musim ini.

Ini adalah musim ketiga JDT menjadi wakil tunggal Malaysia ke ACL dan mungkin, ini adalah detik sesuai buat mereka melakar kejutan dengan pengalaman yang lebih kini di saingan elit kelab Asia itu.

Musim ini menyaksikan JDT diundi dalam Kumpulan G bersama kelab Liga Super China, Jiangsu, Nagoya Grampus Eight dari Liga J , pemenang aksi play-off antara kelab Korea, Pohang Steelers dan kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol.

Ia bukan tugas mudah memandangkan Jiangsu adalah juara Liga Super China, manakala Nagoya adalah pasukan tempat ketiga Liga J.

Tetapi dengan squad depth yang baik, JDT berupaya melakukan penggiliran pemain dan membariskan barisan terkuat dalam setiap aksi di ACL.

Jika JDT berjaya melepasi peringkat kumpulan, ia juga pasti memberi impak dan kesan positif kepada bola sepek Malaysia serta juga skuad kebangsaan.

Pemain kebangsaan dalam skuad JDT pasti akan turun dengan keyakinan lebih apabila menyarung jersi negara di baki aksi pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang dijangka bakal dilangsungkan Jun depan di Emiriah Arab Bersatu.