Mencapai kegemilangan bersama pasukan MPPJ pada 2004, diikuti pengembaraan gemilang selama empat tahun bersama Pahang bermula pada 2009 dan membawa naik nama PDRM pada 2014, selepas itu nama Dollah Salleh sepi seketika selepas terpalit calar bersama skuad kebangsaan dan keputusan membimbing Perlis musim lalu juga gagal memberikan hasil yang terbaik.

Namun, kini Dollah buat hal lagi, kali ini beliau kembali bersama skuad Tok Gajah. Kehadirannya berjaya menarik banyak nama-nama besar untuk menyertai pasukan Pahang.

Antaranya Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Nurridzuan Abu Hassan, Joseph Kalang Tie, Muslim Ahmad, Zubir Azmi dan Ashari Samsudin selain pemain import seperti Mohammadou Sumareh dan Matheu Alves Leandro.

Jika dinilai dua perlawanan Liga Super musim 2017, tidak keterlaluan saya katakan bahawa Pahang bakal menjadi salah satu pencabar utama untuk saingan musim ini.

Pahang yang membelasah T-Team 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Kuantan tempoh hari dilihat mampu memberikan saingan kepada pasukan seperti Kedah, JDT dan juga Selangor.

Dollah selaku jurulatih berpengalaman tentunya berhasrat mahu melihat Stadium Darulmakmur kembali dibanjiri peminat dalam setiap perlawanan. Beliau juga saya percaya mahu mengembalikan zaman kegemilangan Pahang biarpun tanpa tonggak seperti Hafiz Kamal, Dickson Nwakaeme, Zesh Rahman dan Razman Roslan.

Dengan seteru lama Dollah seperti Irfan Bakti dan Tan Cheng Hoe masih berada di arena bola sepak tanah air, selain beberapa jurulatih import seperti Benjamin Mora dan Eric Williams, diharapkan kehadiran semula beliau ke dalam kancah Liga Super mampu menambah warna-warni kemeriahan saingan musim 2017.