Dalam dunia permotoran MotoGP, sesiapa yang tidak mengenali Valentino Rossi sudah pasti dia bukanlah peminat tegar sukan itu. Dengan jolokan ’The Doctor’, dia sudah diangkat sebagai antara lagenda yang pasti akan dikenang sampai bila-bila.

Tetapi yang menarik, walaupun statusnya sudah diangkat tinggi beliau masih lagi aktif dan terus bersaing bersama-sama pelumba baru.

Langkah Rossi di dunia permotoran bermula hasil daripada didikan bapanya sendiri Graziano Rossi, yang juga seorang pelumba pada era 70an.Tidak hairanlah mengapa dia mempunyai jiwa yang kental di kala kanak-kanak lain ketika itu masih asyik dengan alatan mainan.

Tidak ramai orang yang tahu sebelum gelaran ‘The Doctor’ ini digunakan, dia mempunyai dua gelaran yang lain. Gelaran pertama digunakan sebelum ini adalah ketika dia berada dalam kelas 125cc. Ketika itu, Rossi amat mengagumi pelumba muda dari Jepun, Norrick Abe, yang sama-sama bersaing dengan legenda, Micheal Doohan dan Kevin Swantz, dalam kelas 500cc. Oleh kerana nama asal pelumba Jepun itu Norifumi Abe, maka Rossi diberi jolokan Rossifumi.

Ketika Rossi dinaikkan pangkat pada tahun 1998 ke kelas 250cc. Rossi diberi pula nama timangan Valentinik .Jolokan ini berasal dari tokoh kartun Daffy Duck iaitu superhero jika di Itali bernama Paperinik ketika itu.

Bagaimanapun, nama itu tidak bertahan lama apabila dia digelar pula ‘The Doctor’ di tahun 2000 ketika mula bersaing dalam kelas 500cc bersama pasukan Honda.

“Semasa bersaing di kelas 500cc kita tidak perlukan superhero, yang diperlukan hanyalah tenang, yakin dan berfikir seperti seorang doktor”, ujarnya. Apa yang lebih menarik nama Valentino itu sendiri dimiliki oleh kebanyakan doktor di Itali.

Nama timangan ‘The Doctor’ itu juga seolah -olah memberi tuah kepada Rossi apabila berjaya meraih gelaran dunia di kelas perdana lima tahun berturut-turun pada tahun 2001 hingga 2005.

Sehingga kini beliau sudah meraih sembilan kejuaraan dunia keseluruhannya dengan setiap satu gelaran dunia di kelas 125cc dan 250cc serta tujuh gelaran di kelas perdana.