Malaysia pecah rekod kebangsaan acara renang 4x100m rampaian lelaki untuk merangkul perak di Kejohanan Renang Peringkat Umur Singapura, baru-baru ini.

Di Singapura jugalah lahirnya seorang perenang sensasi, Joseph Schooling, yang memecah rekod Olimpik dalam acara 100m kupu-kupu dan memenangi pingat emas Olimpik pertama untuk Singapura.

Jika dibandingkan pencapaian di atas, saya sudah dapat bayangkan orang Singapura kini tersenyum sinis seakan-akan mengejek Malaysia.

Jiran kepada Johor DT itu -- negeri di selatan yang memiliki kelab bola sepak berstatus selebriti -- mempunyai budaya ‘Kiasu’ (Takut kalah) dan ‘Kiasi’ (Takut mati).

Bayangkanlah asal Nasi Ayam Hainan pun dia kata dia punya.

Ada kemungkinan Singapura akan menyatakan kalau perenang Malaysia mahu belajar berenang dan jadi juara Olimpik, belajar daripada Schooling.

Ramai perenang terkenal Malaysia dalam lingkungan umur 20-an mengenali rapat Schooling kerana mereka pernah bersaing dalam sirkit dan kejohanan renang remaja di Malaysia.

Ibu Schooling juga orang Malaysia dari Ipoh.

Malaysia sememangnya bangga kerana Tern Jian Han, Wong Fu Kang, Chan Jie dan Keith Lim mencatat 3 minit 45.28 saat dalam acara 4x100m rampaian lelaki lalu meleburkan rekod 18 tahun.

Kita berharap momentum perenang negara akan diteruskan untuk menghadiahkan sebanyak mungkin pingat emas di Sukan SEA KL2017 dari 19 hingga 31 Ogos dan sekaligus membantu Malaysia menjadi juara keseluruhan.

Tetapi siapa yang boleh menghalang Schooling pada edisi ini yang merangkul 9 pingat emas di Sukan SEA 2015 di Singapura?

Untuk orang Malaysia, kalah kepada negara lain masih tak apa, tapi pantang tunduk dan disekolahkan oleh Singapura.