Bagaimana Jurgen Klopp akan membentuk barisan pertahanannya berdepan Leicester kurang seminggu lagi?

Itu persoalan yang sedang meniti di bibir deretan pengulas dan penganalisis Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan di Anfield, 22 November ini, pada ketika juara bertahan itu berhadapan krisis kecederaan paling kronik.

The Reds terus menerima tamparan lanjut apabila bek kiri, Andy Robertson, cedera hamstring selepas mengetuai Scotland beraksi 120 minit dalam perlawanan play-off Euro 2020 menentang Serbia di Belgrade, awal pagi Jumaat lalu.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 hanya untuk Scotland menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti bagi mengakhiri kemarau 23 tahun daripada sebarang kejohanan utama sejak pusingan akhir Piala Dunia 1998 di samping ia akan menjadi penampilan pertama mereka dalam Euro sejak 1996.

Tidak hairanlah Robertson selaku kapten Scotland memberikan segala-galanya dalam perlawanan itu.

Penyisihannya bermakna Liverpool kini ketiadaan seluruh pilihan utama benteng pertahanannya selepas kecederaan yang menimpa Trent Alexander-Arnold dan Joe Gomez sebagai menyusuli rehat panjang Virgil van Dijk yang menjalani pembedahan lutut bulan lalu.

Alexander-Arnold, yang ditarik keluar ketika seri 1-1 dengan Manchester City, 9 November lalu, dijangka tersisih empat minggu gara-gara masalah betis sambil Gomez baru dibedah untuk memperbaiki tendon di lutut kiri ketika latihan bersama skuad England.

Seperti rakannya di bek tengah, Van Dijk, pemain berusia 23 tahun itu sedang merenung tempoh pemulihan yang panjang dari tepi padang.



Sebagai memperburukkan lagi keadaan buat Klopp, ayam tambatan, Mohamed Salah, diuji positif COVID-19 selepas menghadiri majlis perkahwinan adiknya dan kini menjalani kuarantin di sebalik hanya mengalami simptom ringan.

Thiago Alcantara, Alex Oxlade-Chamberlain dan Fabinho juga sedang menanggung kecederaan, dengan Liverpool kini terdesak mengharapkan Joel Matip, Nat Phillips dan Rhys Williams selaku pilihan yang masih cergas di barisan pertahanan.

Satu lagi khabar buruk buat Jordan Henderson dan rakan-rakan ialah Leicester sedang bersemangat di tangga teratas liga.

Bukan sekadar Leicester sedang menikmati permulaan terbaiknya dengan mendahului pencabar lain dengan jumlah ketiga tertinggi daripada segi jumlah jaringan tetapi mereka juga boleh bergantung harap kepada Jamie Vardy yang sedang panas membara.

Pemenang kasut emas musim lalu itu mengharungi permulaan musim ini dengan lapan gol daripada hanya tujuh perlawanan dan pastinya akan menghargai kesempatan untuk merobek-robekkan barisan belakang Liverpool yang dinafikan pilihan terbaiknya.

Leicester bukanlah satu-satunya kebimbangan, dengan Wolves and Ajax sedia menanti untuk memberi ujian lanjut bulan depan.

“Harus tiada siapa menduga krisis kecederaan yang akan dihadapi Klopp di peringkat ini.

“Tapi kegagalan Liverpool merekrut seorang pertahanan baru pada musim lalu, kini terdedah sebagai satu kesilapan Michael Edwards (pengarah sukan Liverpool).

“The Reds membuat perjudian dengan kegagalan mendapatkan pengganti Dejan Lovren dan ia kini kelihatan memakan diri,” kata pengulas/pengkritik, Jack Saville, kepada laman givemesport.com.

Dan sambil kebanyakan pengurus EPL mengalu-alukan tempoh rehat antarabangsa ketika ini, Klopp harus terpaksa banyak memerah otak.

Atau Liverpool selaku antara pasukan yang paling banyak dibolosi dengan 16 gol liga – purata dua gol setiap perlawanan – akan terus dirobekkan.