Itulah situasi yang membelenggu penganjur liga di seluruh dunia kerana harus memikirkan cara-cara mengelak industri bola sepak masing-masing daripada lumpuh tetapi dalam masa sama tidak mahu peminat berdepan risiko dijangkiti wabak Covid-19.

Selaku pembuat dasar bola sepak, mereka sudah tentu tidak mahu membatalkan saingan masing-masing kerana implikasi meluas akibat tindakan itu, khususnya dari segi undang-undang, sudut komersial dan kelangsungan liga itu.

Seperti laporan saya dalam Nadi Arena sebelum ini, industri bola sepak tempatan dijangka menanggung kerugian melebihi RM100 juta jika saingan Liga M dibatalkan ekoran penularan wabak berkenaan.

Ia merangkumi kehilangan punca pendapatan setiap pasukan termasuk penajaan untuk pasukan dan kelab serta jumlah kutipan tiket selain industri sampingan yang dijana daripada satu-satu perlawanan bola sepak liga.

Lebih perit, pemain dan jurulatih yang mengikat kontrak setahun dengan majikan masing-masing berdepan risiko ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Justeru, Kementerian Belia dan Sukan KBS diharap dapat menangguhkan keputusan sama ada untuk membatalkan atau meneruskan saingan Liga M sehingga Jun dengan mengambil kira perangkaan jumlah positif terkini Covid-19.

Saya berasakan kita mempunyai masa yang mencukupi untuk menghabiskan saingan liga seandainya Liga M disambung semula pada Ogos, tertakluk kepada 'SOP' baru di bawah Majlis Keselamatan Negara, MKN apabila Perintah Kawalan Pergerakan, PKP ditamatkan.

Ketika ini, pengendali Liga Thailand, Korea Selatan dan Vietnam mahu menyambung semula saingan masing-masing bagi meneruskan kelangsungan liga seperti badan pentadbir liga di beberapa negara Eropah lain.

Sebagai pencinta bola sepak tanah air, saya juga mengharapkan perkara yang sama dengan Liga M dapat disambung semula selewat-lewatnya Ogos ini kerana bulan Jun dan Julai dilihat tidak lagi relevan untuk liga disambung semula berdasarkan situasi semasa.

Ayuh, selamatkan industri bola sepak tempatan.