Sudah sedemikian situasi Gareth Bale sejurus pelan perpindahannya ke sebuah kelab Liga Super China (CSL) dengan janji kekayaan berganda, terhalang semalam.

Keadaannya sudah sampai ke tahap ia menjadi bahan jenaka hingga sebuah akhbar British, The Sun, membuat satu tinjauan pendapat di atas talian sebagaimana soalan berikut:

Apakah yang harus dilakukan Bale berikutnya?

Teruskan perpindahan ke China

Kekal di bangku simpanan dan bermain golf untuk tiga tahun berikut

Memugar kariernya dan kemudian berpindah ke sebuah kelab utama Eropah


Dengan pilihan pertama itu tidak lagi terpakai, opsyen yang ada hanyalah dua yang terakhir itu – begitupun ia tidak akan semudah yang diharapkannya.

Berang dengan Presiden Real Madrid, Florentino Pérez, yang menggagalkan perpindahannya ke Jiangsu Suning dengan gaji £1 juta (RM5.09j) seminggu pada saat-saat akhir – jendela perpindahan CSL ditutup tengah malam esok – Bale dikatakan percaya apa saja peluangnya kini sudah tertutup.

Dilaporkan oleh akhbar The Guardian, pengurusan tertinggi Real Madrid berubah hati untuk melepaskannya susulan kecederaan jangka panjang Marco Asensio di samping Bale – yang tiba dengan yuran £85 juta (RM427j) daripada Tottenham pada 2013 -- ditakrifkan terlalu bernilai untuk dibiarkan pergi secara percuma.

Pada masa dia berkeras enggan menyertai kelab lain secara pinjaman atau bersetuju dengan potongan gaji, pemain berusia 30 tahun itu percaya dia tiada prospek untuk beraksi buat Real Madrid dengan kesedaran pengurus, Zinedine Zidane, tidak akan membenarkannya.


SUKA ATAU TIDAK... Zidane dan Bale tidak dapat mengelak untuk bersemuka semusim lagi

Dalam pada itu, Bale secara tidak rasmi sudah dimaklumkan untuk bersiap mengharungi semusim lagi dalam LaLiga kerana ketiadaan sebarang bidaan serius yang lain sambil kelab-kelab Eropah takutkan gaji £650,000 (RM3.3j) seminggu miliknya ketika ini yang kekal sebagai halangan terbesar.

Maka, laman CNN merumuskan situasi di mana dia harus bermain di bawah seorang pengurus yang mahukannya segera pergi di sebalik seorang presiden kelab yang enggan dia berpindah, Bale bakal mengharungi satu perjalanan panjang yang porak-peranda.

Zidane secara terbuka sudah menyatakan keinginannya agar pemain itu segera meninggalkan pasukan untuk membuka laluan kepada kedatangan seorang lagi bintang, dipercayai Paul Pogba.

“Ia sebenarnya mudah, Zidane tidak menyukai Gareth. Tidak ada sebarang hubungan di antara kedua-duanya, malah tidak pernah ada,” kata ejennya, Jonathan Barnett, kepada penerbitan Perancis, Le Journal du Dimanche, sambil menambah ia berkisar kepada hal peribadi dan bukannya profesional.

Namun, perkembangan terkini dalam pasukan mungkin menawarkan sedikit sinar buat Bale, itupun dalam keterpaksaan.

Seperti dilaporkan akhbar Madrid, Diario AS, wujud kebimbangan besar ketika ini terhadap kedalaman pasukan gara-gara kecederaan yang mengetepikan pemain tengah menyerang, Asensio, untuk sebahagian besar musim baru nanti.

Ia kini akan dilihat jika Zidane akan menawarkan peluang kedua buat Bale – yang digelar rakan sepasukan sebagai “si pemain golf” kerana ketaksubannya -- dengan ramai mengandaikan dia mampu membentuk gandingan serangan berbisa bersama rekrut terbaru, Eden Hazard dan Luka Jovic.


KETAKSUBAN BARUNYA... Pemain golf handikap 5, Bale, akan punya banyak masa untuk itu

Zidane mungkin keberatan untuk merelakan itu berlaku tapi Perez harus tidak akan berkompromi dalam soal itu.

Terkini, Bale menarik diri daripada skuad 24 pemain Real untuk satu kejohanan pramusim Piala Audi di Munich yang turut menampilkan Bayern Munich, Tottenham dan Fenerbahce bermula esok – isyarat dirinya tidak selembut disangkakan mereka.