Skuad Harimau Malaysia yang turun beraksi menentang Kemboja dalam perlawanan pertama kumpulan B Piala AFF 2016 dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-2. Keringat kesemua pemain dikerah hebat barisan pemain muda Kemboja yang mendahului dua kali dalam perlawanan yang berlangsung di sebelah petang.

Siapa sangka benteng Malaysia mudah dirobek penyerang lawan apabila ketidakpekaan pemain pertahanan Malaysia yang tidak bermain mengikut wisel pengadil perlawanan dihukum dengan gol mudah dari Kemboja menerusi Chan Vathanaka. Kelebihan satu gol itu bagaimanapun berjaya dipadamkan apabila tonggak muda negara, Syazwan Zainon bijak melakukan gerakan menarik sebelum merembat deras menewaskan penjaga gol lawan untuk gol penyamaan.

Kerapuhan benteng negara sekali lagi dihukum dengan gol kedua juga menerusi Chan Vathanaka, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Datuk OKS berdepan tugas berat di padang latihan bagi memastikan benteng negara kembali kebal sebelum perlawanan bertemu Vietnam pada Rabu ini.

Malaysia perlu berterima kasih kepada dua otai lama yang ternyata memberi sumbangan besar dalam perlawanan ini. Pertama , Amri Yahyah yang meledakkan dua gol sekaligus menghadiahkan 3 mata berharga buat Malaysia. Kedua, Safee Sali yang masuk sebagai pemain gantian dan melakukan bantuan jaringan untuk gol kemenangan Malaysia. Reputasi yang dimiliki 2 penggempur ini ternyata masih digeruni pihak lawan biarpun sudah lanjut usia. Tidak dilupa persembahan cemerlang yang dipamer pertahanan kanan Rizal Ghazali yang tidak mensia-siakan peluang yang diberi untuk membarisi kesebelasan utama.

Cuma beberapa nama besar seperti Baddrol Bakhtiar, Shahrom Kalam dan Irfan Fazail seharusnya mampu mempamerkan aksi lebih tersusun di atas padang. Mereka dilihat gopoh dan seperti gugup berdepan pamain muda Kemboja. Diharapkan Datuk OKS dapat memperbaiki segala kekurangan yang kelihatan dalam aksi berdepan Vietnam dan Myanmar minggu ini.