Ketika artikel ini ditulis saya sedang meratapi kesedihan kekalahan serta penyingkiran Jerman dalam Kejohanan Piala Dunia di Russia.

Ia bukan keputusan yang saya dan mungkin peminat bola sepak dunia jangkakan tetapi itulah bola sepak, apapun boleh berlaku. Jerman kini menyertai bekas juara dunia seperti Perancis, Itali dan Sepanyol yang tersingkir awal selepas muncul juara Piala Dunia.


Apapun memang sudah tertulis Jerman tidak akan dapat melangkah jauh selepas aksi kurang meyakinkan apabila tewas kepada Mexico dan bergelut untuk menewaskan Sweden sebelum tersungkur kepada pasukan Asia, Korea Selatan. Anak buah Joachim Low gagal untuk menterjemahkan aksi cemerlang di pusingan kelayakan ke pusingan akhir di Rusia sekalipun memiliki lapan pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Rio empat tahun lalu ketika Jerman muncul juara.

Kekalahan kepada Mexcio menimbulkan banyak perdebatan termasuk mengenai strategi Low, serta dakwaan wujud puak yang ada dalam skuad Jerman, serta pemilihan pemain yang salah oleh Low.

Saya mula meminati pasukan Jerman ketika didedahkan kepada Piala Dunia 1974. Ketika itu saya dalam darjah tiga dan menonton perlawanan akhir menerusi kaca televisyen dalam hitam putih. Ia menyaksikan pertembungan antara Jerman Barat (ketika itu) yang diketuai pemain legenda, Franz Beckenbauer menentang Belanda (The Oranje) yang dibarisi Johan Cryuff. Ia perlawanan cukup menarik. Mungkin sebab Jerman menang sebab itu saya terus terpikat dengan Die Mannschaft.

Ketika itu saya melihat kehebatan pemain antaranya Beckenbauer, Sepp Maier, Paul Breitner, Gerd Muller dan Berti Vogts.

Ketika itu saya juga menonton Football Made in Germany yang menampilkan aksi pasukan Bundesliga. Ketika itu saya hanya tahu Bayern Munich sahaja kerana banyak dipertontonkan aksi kelab itu yang dibarisi pemain bintang seperti Gerd Muller serta, Karl Heinz Rummenigge.

Walaupun aksi pada 1978 kurang memberangsangkan tetapi saya tetap mengikut perkembangan Jerman Barat. Malah ketika itu saya 'gila' membeli jersi pasukan Jerman dengan jalur hitam/merah/kuning, yang saya anggap antara tercantik ketika itu. Saya kecewa selepas Jerman Barat gagal menang Piala Dunia pada final 1982 dan 1986 tetapi berjaya melakukannya pada 1990 yang diketuai Beckenbauer selaku jurulatih.

Jerman sudah melalui pelbagai rintangan untuk sentiasa bangkit kembali dan saya pasti Die Mannschaft akan melakukannya. Kekalahan ini hanya bersifat seketika. Ia tidak seperti pasukan lain yang gagal bangkit selepas menang Piala Dunia sebaliknya terus bermimpi dengan kejayaan lalu.