145 pingat emas membawa Malaysia di tempat teratas kedudukan pingat 11 negara Asia Tenggara dan muncul juara keseluruhan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Prestasi luar biasa kontinjen negara merupakan keputusan paling cemerlang berbanding 111 pingat emas sebagai juara keseluruhan buat kali pertama pada 2001.

844 atlet negara dalam 38 sukan harus dipuji sama ada mereka menang pingat atau tidak kerana setiap daripada mereka memberi segala-galanya untuk menjayakan temasya yang melihatkan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali ke 6.

Walaupun sukan bola tampar hanya satu-satunya sukan tanpa pingat, selain 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa dihadiahkan kepada Malaysia sempena Hari Kemerdekaan ke-60.

Program Kita Juara oleh Majlis Sukan Negara (MSN) nyata berjaya dengan cemerlang kerana selain menampilkan atlet senior, 445 orang atlet beraksi di Sukan SEA buat kali pertama, tambahan lagi 261 atlet adalah atlet berumur bawah 21 tahun.

Adam Yoong, 9 tahun pemenang pingat emas luncur air muncul atlet termuda kontinjen negara.

Seperti yang saya kongsikan dalam Konklusi Harian KL 2017 pada hari terakhir temasya bersama hos Hafizal Hamad dan Akbar Sahari juga ‘kamus sukan’ Rizal Hashim, dalam konteks pencapaian, pihak pentadbir sukan akan mengambil kira keseimbangan kekuatan atlet.

Walaupun temasya ini lebih sesuai untuk atlet pelapis tetapi Malaysia memerlukan khidmat atlet elit senior untuk mencapai sasaran lagipun penampilan mereka memberi inspirasi dan semangat kepada rakan sepasukan yang lain.

Tabik kepada juara dunia Azizulhasni Awang, Mohd Al-Jufferi Jamari dan Cheong Jun Hoong yang mengotakan janji merangkul emas.

Selain itu, komitmen luar biasa Shalin Zulkifli yang sudah menggondol pingat emas ke 20 mahupun Leong Mun Yee yang bertekad terus mengibarkan jalur gemilang pada usia 32 tahun dengan 2 pingat emas dalam sukan terjun menjadikan 17 pingat emas dalam kariernya di Sukan SEA.

Kejayaan istimewa Sukan SEA kali ini juga adalah kerana kerjasama dan komitmen pihak penganjur, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dipimpin oleh YB Khairy Jamaluddin yang juga merupakan pemenang pingat emas dalam sukan polo, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, persatuan sukan, jurulatih, penaja, peminat sukan dan para sukarelawan yang antaranya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi yang tidak kenal penat lelah menjadi pasukan sorak rasmi atlet negara dalam misi menyokong dan menaikkan semangat atlet negara.

Rakyat Malaysia juga menyokong atlet di lokasi pertandingan mahupun menyaksikan perkembangan komprehensif dan terkini temasya ini secara langsung 16 jam sehari di saluran-saluran Astro Arena, Astro Go dan Njoi.

Astro Arena memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan berita terkini supaya bersama-sama meraikan usaha gigih dan kejayaan atlet.

Kejayaaan di Sukan SEA KL 2017 adalah kemenangan bersama rakyat Malaysia.

Kita sama hero!

Kredit imej: Atlet Malaysia