Iskandar Zulkarnain Zainuddin masih berumur 10 tahun ketika menyaksikan para pemain badminton negara beraksi di Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur.

Impian ingin mengikut jejak langkah idolanya beraksi di Sukan SEA di laman sendiri akhirnya tercapai di KL2017.

Iskandar memberi satu mata kepada pasukan Malaysia yang membenam pasukan Laos 3-0 untuk mara ke separuh akhir acara berpasukan lelaki menentang Singapura.

Lebih manis beberapa bekas pemain negara antaranya Muhammad Hafiz Hashim juga berada di Axiata Arena untuk menyaksikan pertarungan pertama Iskandar di Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Perasaan yang tidak dapat saya ungkapkan beraksi di hadapan keluarga, rakan-rakan, jurulatih, rakan sepasukan dan para penyokong menyaksikan perlawanan saya”, kata Iskandar dengan penuh keterujaan.

Tewas kepada Indonesia 2-3 di peringkat separuh akhir edisi lalu walaupun dibarisi oleh Dato’ Lee Chong Wei, Iskandar yakin barisan pemain yang dipertanggung-jawabkan kali ini boleh menumpaskan Singapura di separuh akhir edisi ini.

“Pasukan negara memang bersemangat bermain sebagai tuan rumah dan ingin mencatat keputusan lebih baik daripada 2 pingat emas, 4 pingat perak dan 2 pingat gangsa di Sukan SEA 2015. Keadaan mental dan fizikal para pemain pada tahap terbaik” ujarnya lagi.

Sukan badminton menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk keputusan cemerlang.

Apa yang pasti Iskandar berjanji memberi yang terbaik di dalam gelanggang lagi pun inilah saat-saat yang ditunggukannya.