Pemenang pingat perak Olimpik bergu campuran Chan Peng Soon tersenyum apabila ditanya bagaimana dia membimbing Cheah Yee See pasangan barunya di Sukan SEA setelah Goh Liu Ying tidak dapat beraksi kerana kecederaan bahu.

Walaupun pertama kali beraksi di temasya terbesar Asia Tenggara ini, Yee See menunjukkan aksi konsisten dan matang di bawah bimbingan senior Peng Soon.

“Tidak mudah untuk bertukar pasangan kerana bersama Liu Ying kita sudah serasi. Saya perlu lebih banyak mengawal gelanggang dan ‘cover’ Yee See. Tapi saya suka sikapnya yang tidak pernah berputus asa”, kata Peng Soon yang pernah berada di kedudukan nombor 3 dunia bersama Liu Ying.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA dalam acara bergu campuran pada 1999, Brunei melalui Chew Choon Eng/ Chor Hooi Yee.

2 tahun lalu di Singapura, Peng Soon/ Liu Ying sekadar mencapai pingat perak di mana skuad badminton Malaysia merangkul 2 emas, 4 perak dan 2 gangsa.

Tambah Yee See, “Saya sedikit gugup namun dengan bimbingan Peng Soon saya kembali yakin dan percaya kami boleh mencipta sejarah sekali lagi setelah 18 tahun menunggu”.

Bagi Peng Soon pula dia bersedia memberi tunjuk ajar kepada pasangan berusia 21 tahunnya Yee See yang masih mentah dalam menghadapi tekanan besar terutama bermain di laman sendiri asalkan Yee See dapat belajar dan pertingkatkan prestasi.

Pada masa yang sama berjanji, kilauan emas dalam acara bergu campuran masih terbuka dan tidak mustahil.