Johnathan Wong menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Hoang Xuan Vinh, dari Vietnam untuk merangkul emas Sukan SEA KL2017 dalam acara menembak 10 meter air pistol lelaki.

Seakan-akan mimpi menjadi kenyataan mengalahkan idolanya yang juga merupakan selebriti sukan di Vietnam, pelajar Kejuruteraaan Angkasa Lepas di Universiti Putra Malaysia ini juga gembira dapat memberi prestasi terbaik di hadapan ibu, ayah, datuk dan ahli keluarga lain yang buat pertama kali menyaksikan kehebatan anak Melaka ini.

Fokus ‘The Thinking Athlete’ berusia 25 tahun kini kepada perancangan dalam membuat persediaan untuk Sukan Komanwel, Australia, Sukan Asia, Indonesia dan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung tahun hadapan.

Atlet cerdik pandai yang masih dalam pengajian tahun ke 4 percaya bahawa keseimbangan dalam pendidikan dan pembangunan diri banyak memberi impak kepada prestasi dalam sukan.

Naib canselor UPM, Datin Paduka Dr. Aini Ideris, yang juga ahli dan peminat sukan sudah pasti individu yang paling gembira kerana lebih daripada 40 pelajar UPM mewakili negara di Sukan SEA kali ini termasuk kakitangan yang terlibat dalam pasukan sorak rasmi atlet negara.

Ramai juga atlet elit negara yang lain masih menuntut di institute pengajian tinggi dan dalam masa sama menjadikan sukan sebagai karier, antaranya Pandelela Rinong (sukan terjun) di Universiti Malaya dan Azizulhasni Awang (atlet berbasikal) di salah sebuah universiti di Melbourne.