Ola!

Sebelum berlangsungnya fasa terakhir latihan Kem Bola, 32 orang peserta dari seluruh Malaysia, Singapura dan Filipina berkumpul di Pusat Latihan Jeonsa, Kuala Lumpur selama tiga hari. Di sini, peserta diberikan pendedahan tentang sains sukan, budaya Catalan dan erti jati diri selain menjalani latihan di atas padang seperti biasa.
Mereka diberi pendedahan tentang risiko kecederaan yang bakal mereka hadapi apabila bermain bolasepak dan mereka juga diajar lagu pasukan Barcelona. Adakah ini bermakna mereka berpeluang untuk menyaksikan perlawanan di Camp Nou? Kita tunggu dan lihat...

Namun secara peribadinya bagi saya, salah satu aktiviti menarik dalam program persiapan awal ini adalah apabila peserta mengikuti kelas bahasa Sepanyol bagi memudahkan mereka berkomunikasi di Barcelona nanti.

Menariknya tentang skuad Kem Bola kali ini, adalah bukan sahaja kanak-kanak Malaysia yang terpilih untuk menjalani latihan di Eropah. Empat peserta berasal dari Singapura dan lima pula dari Filipina. Pada awalnya, tampak sedikit janggal terutama sekalinya di kalangan peserta Filipina disebabkan perbezaan bahasa namun selepas beberapa hari, semua peserta kelihatan sangat mesra dan serasi bersama.

Skuad Kem Bola berangkat dari Kuala Lumpur pada awal pagi Khamis dan singgah di Dubai sebelum menyambung perjalanan ke Barcelona, Sepanyol.

Ketika ini kami semua masih lagi berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, menanti kapal terbang untuk ke destinasi kami. Secara jujurnya, tiada kepenatan langsung terpancar pada wajah peserta Kem Bola. Sebaliknya, semua sudah tidak sabar untuk sampai ke bumi Catalan dan memulakan sesi latihan.

Krew Astro Arena pula tidak sabar untuk membuat penggambaran tentang perjalanan peserta musim ini. Saya amat yakin, banyak perbezaan positif dan menarik yang bakal kita saksikan.

Doakan kami semua selamat sampai ke Barcelona dan jumpa lagi di Diari Kem Bola yang seterusnya.

Adios!