PENULIS tertarik dengan manifesto yang dibentangkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa – dua calon presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang kongres pemilihan badan induk itu Sabtu ini.

Untuk bahagian pertama, penulis mengupas manifesto TMJ, yang sah menjadi presiden FAM ke-15 sejak 1933 selepas Annuar mengumumkan penarikan diri sebentar tadi.

1. Memastikan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak digunakan untuk kepentingan politik.


Tidak semestinya orang politik sahaja menggunakan mana-mana organisasi kerajaan atau bukan kerajaan untuk kepentingan politik atau peribadi. Kepentingan politik termasuk usaha mempopularkan diri untuk agenda tertentu. Sifat ini tidak terhad kepada orang yang ada kepentingan politik mahupun perniagaan.

Orang biasa ataupun kerabat boleh mengeluarkan kenyataan berbau populis atau tindak-tanduk berunsur politik mahupun bersulam agenda. Ini hakikat kehidupan. Mana-mana organisasi yang memerlukan undian dan pemilihan secara demokratik harus ada unsur politik.

2. Mengubah budaya bola sepak Malaysia. FAM dirombak sepenuhnya, di mana ia telah terbelenggu selama lebih tiga dekad.


Sokong seratus peratus. Mesyuarat Exco FAM yang kadang-kadang diadakan di hotel terkemuka atau di Wisma FAM bolehlah dibawa ke mana-mana ahli gabungan. Kosnya barangkali minimum. Selain membuka ruang kepada ahli Exco FAM untuk bersemuka dengan ahli gabungan serta peminat, penyokong boleh memberi maklum balas secara terus kepada FAM.

3. Pembaharuan Urus Tadbir dan Pentadbiran – Untuk mengubah struktur organisasi kebangsaan


Merombak struktur FAM daripada berasaskan kepada jawatankuasa kepada organisasi yang berteraskan kepada pengurusan profesional barangkali sesuatu yang ideal. Namun ketua urusetia atau setiausaha agung yang profesional, berilmu dan pandai mengurus modal insan bukan sahaja boleh menasihati jawatankuasa untuk membuat keputusan yang betul, bahkan mampu mengurus kelompok profesional sebagai pelaksana dasar.

TMJ boleh melantik individu yang berkelayakan untuk mengetuai jabatan yang penting seperti teknikal, pembangunan remaja, kewangan, kejurulatihan dan pengadil serta melaporkan terus kepada presiden. Apa yang berlaku pada waktu ini ialah jika keputusan penting membabitkan beberapa dasar dibuat tangan kanan, tangan kiri tidak tahu. Tentu sekali individu yang sepatutnya tahu semua urusan dasar ialah Setiausaha Agung.

4. Meminda Perlembagaan


Meminda perlembagaan FAM wajar tetapi bukan untuk penyokong memilih siapa teraju badan induk. Walaupun bola sepak sesungguhnya milik rakyat, kelompok insan tertentu yang ada pengaruh, kemewahan dan ada tokoh kepimpinan yang harus ikhlas mengurus bola sepak demi rakyat.

Jika rakyat diberi peluang mengundi siapa presiden FAM, TMJ akan menang setiap penggal! Lebih wajar jika meminda perlembagaan FAM untuk memperkasakan badan induk itu, misalnya memperuntukkan klausa atau meminda Artikel 45 Statut FAM berhubung Jawatankuasa Pertandingan Tempatan bagi untuk mewujudkan badan bebas yang menganjurkan Liga M.

Setakat ini Usaha Sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) ditubuhkan tanpa mengikut statut, lantas menyulitkan kaedah pelaksanaan. Artikel 45 menyebut jawatankuasa pertandingan tempatan bertanggungjawab merancang, mengelola dan menangani semua hal berkaitan dengan pertandingan yang dikelola oleh FAM mengikut peruntukan statut dan peraturan persatuan. Bagi memastikan penganjuran liga dan kewujudan FMLLP tidak terjejas, ia harus termaktub dalam statut FAM.

5. Meningkatkan nilai komersial Liga Super dan Liga Premier


Disokong seratus peratus tetapi jangan lupa Piala Presiden dan Piala Belia. Juga pastikan nilai komersial dan pengagihan pendapatan hasil hak siaran diagih dengan adil hanya menerusi satu entiti yang wujud mengikut statut FAM andainya badan induk itu tidak mahu timbul pelbagai tafsiran yang menidakkan kewujudan organisasi itu.

6. Pembangunan Permainan – Keseluruhan Program Pembangunan Bola Sepak Malaysia


Memberi tumpuan kepada golongan kurang upaya, futsal, bola sepak wanita dan pantai serta biasiswa untuk jurulatih adalah langkah wajar.

7. Pendekatan global dalam pembangunan bola sepak di Malaysia: Kepakaran antarabangsa dan perancangan pengambilalihan


TMJ dijangka melantik kepakaran asing untuk merangka pelan induk tetapi waspada dengan orang asing kerana tidak semua ikhlas dan bertanggungjawab.

8. Penstrukturan semula pasukan kebangsaan

Sebagaimana yang dicadangkan oleh penulis kepada TMJ pada satu pertemuan di Kuantan pada 2014, urusan pasukan kebangsaan ditadbir pasukan khas yang melapor terus kepada presiden FAM. https://twitter.com/rizalhashim801/status/472517420884566016/photo/1.

Satu ketika dahulu Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memberi lesen besar kepada jutawan Tavatchai Sajakul mengurus tadbir the Dream Team yang menampilkan antara lain bintang seperti Kiatisuk Senamuang, Tawan Sripan, Anuruck Srikerd dan Therdsak Chaiman yang layak ke Piala Asia 2000. Dengan memasukkan elemen prestasi tinggi yang dicadangkan oleh Fritz Schmid dalam pelan induknya tahun lalu, ini struktur yang boleh membawa dimensi berbeza kepada skuad kebangsaan.

9. Program Pembangunan Pengadil


Untuk pengadil pro atau sepenuh masa, harus diambil kira mereka berkesempatan menjadi pengadil setinggi taraf FIFA sehingga 50 tahun. Bagaimana kaedah terbaik menampung hidup sesudah itu?

10. Fasiliti-fasiliti


Fasiliti di bawah pihak berkuasa tempatan kecuali ahli gabungan dan kelab mempunyai kedudukan kewangan kukuh untuk menubuhkan kelab dan padang latihan sendiri.

11. Pendekatan dalam melakukan semua tugasan


TMJ harus menjadi presiden yang tahu perkembangan semasa dalam FAM dan terbabit secara langsung sama ada dalam merangka mahupun melaksana dasar.