Adakah anda sedia menghulurkan derma untuk membantu atlet negara menyertai kejohanan antarabangsa?

Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap pemurah.

Andai berlaku bencana atau insiden menyayat hati, sebuah tabung kilat diwujudkan dan pasti ramai yang menghulur bantuan.

Ia sinonim dengan budaya kita sejak berdekad lalu.

Dalam arena sukan, banyak persatuan berdepan masalah kewangan terutama untuk menghantar atlet menyertai sukan bertemasya seperti Sukan SEA Filipina.

Semangat kesukanan dan impian mengharumkan nama negara satu hal tetapi ia juga perlukan dana mencecah ratusan ribu ringgit.

Soalnya bagaimana persatuan yang baru diwujudkan, tidak mempunyai struktur tersusun sejak peringkat akar umbi hingga skuad kebangsaan, tidak mempunyai liga peringkat negeri/ kebangsaan, tidak mempunyai cukup dana tetapi dibenarkan ke Filipina?

Mereka sanggup mengorbankan masa, keringat dan wang ringgit demi mencapai misi itu.

Ia pengorbanan murni tetapi mengapa banyak halangan untuk persatuan ini mencari dana?

Sebuah persatuan sudah mewujudkan tabung untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM70,000 bagi menyertai Sukan SEA Filipina.

Tetapi, mereka tidak dibenar menggunakan atlet atau nama temasya atau banyak halangan lain untuk mengumpul dana.

Jadi bagaimana dengan tindakan persatuan mengarahkan atlet membiayai kos mereka sendiri untuk mewakili negara pada kejohanan antarabangsa?

Mengapa persatuan tersebut tidak dikenakan tindakan?

Kembali kepada soal derma.

Persatuan itu sudah menjalankan usaha menerusi jualan produk namun ia hanya berjaya mengumpul kurang 20 peratus daripada jumlah diperlukan.

Jadi siapa akan bantu persatuan kecil ini?

Adakah derma akan menjatuhkan reputasi atlet negara?

Atau Majlis Olimpik Malaysia (MOM) patut menilai semula peraturan tidak membenarkan kutipan derma dijalankan atas nama Sukan SEA?