Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dilanda isu baru.

Baru lega dengan berita lima atlet lulus ujian doping, datang pula isu Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) tidak membenarkan Malaysia hantar atlet menyertai kejohanan antarabangsa selagi tidak membayar denda RM106,000 ekoran kes doping.


Denda itu hutang lapuk ekoran lambakan kes doping terdahulu yang belum dibayar bekas pegawai terdahulu.

Dalam situasi ini siapa yang rugi?

Atlet pasti menangis kerana sudah buat persiapan rapi. Malah, saya melihat bagaimana juara Komanwel, Aznil Bidin mampu mengangkat 170kg clean & jerk - kurang 4kg berbanding rekod dunia milik jaguh Indonesia, Eko Yuli Irawan.

Ini bermakna, Aznil berpotensi catat sejarah atlet angkat berat pertama negara menang pingat Kejohanan Dunia 2019 di Pattaya, Thailand sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketepikan sentimen itu seketika.

Soalan kepada pegawai persatuan sukan kebangsaan. Dalam situasi ini, apakah tanggungjawab anda?

Benar ia bukan hutang anda tetapi apabila menang jawatan, adakah sanggup melihat atlet terkapai-kapai mencapai impian mereka?

Adakah perlu serahkan masalah ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara atau Majlis Olimpik Malaysia?

Saya melihat kes ini sebagai tanggungjawab komuniti angkat berat Malaysia bermula daripada Presiden, exco, ahli gabungan, jurulatih, atlit dan ibu bapa sendiri.

Semua perlu main peranan.

Andai PABM tidak mempunyai dana membayar denda/ hutang lapuk adakah atlet sekarang yang perlu menanggung kesannya?

Maka, jika terpaksa mengutip derma untuk membayar denda RM106,000 itu sanggup menderma walaupun media patut berkecuali jika itulah yang diperlukan untuk semua pihak berasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku.