Dalam tempoh 24 jam, 'Manchester Derby' bakal tiba buat kali kedua musim ini, pertarungan antara dua seteru setempat yang tidak pernah gagal menarik perhatian ramai.

Jika diimbas kembali kepada tanggal 2 Oktober tahun lalu, jaringan hatrik Erling Haaland dan Phil Foden sewaktu membedal United dengan skor 6-3 pastinya masih terngiang-ngiang sebagai memori paling perit buat penyokong The Red Devils.

Namun, harapan mereka adalah agar skrip yang berbeza dapat ditampilkan kali ini.

Pasca kekalahan itu, pengurus United, Erik Ten Hag, menegur pemain-pemainnya kerana hilang semangat dan seolah-olah menyerah kalah sebelum perlawanan dimulakan lagi sedangkan mereka lebih daripada mampu untuk memberikan saingan sengit terhadap City.

Perlawanan itu berlangsung di saat United masih lagi dalam proses memulihkan diri daripada segala keperitan yang dialami sejak bermusim-musim yang sudah, di mana aspek tidak konsisten dan tidak keruan di bawah bimbingan pengurus-pengurus yang tidak cukup mantap seringkali menjadi pemusnah mereka.

Kehadiran Ten Hag musim ini memberikan sinar baru terhadap United, dengan sikap profesional serta mementingkan disiplin yang ditunjukkan pengurus Belanda itu membolehkan United untuk berada di tangga keempat liga setakat ini -- mengatasi dua lagi seteru ketat, Liverpool dan Chelsea, yang masing-masing berada di tangga ketujuh dan ke-10.



Menurut laporan The Daily Mail, kemenangan United ke atas Charlton Athletic dalam Piala Carabao baru-baru ini mencatatkan sejarah tersendiri buat Ten Hag, di mana dia menjadi pengurus United yang paling pantas mencapai rekod 20 kemenangan.

Andai ditakdirkan United berjaya mengatasi City esok, ia bakal membolehkan Ten Hag menyamai rekod Jose Mourinho yang membawa United untuk mencatatkan sembilan kemenangan berturut-turut pada thun 2017.

Impak Ten Hag terhadap United sememangnya sukar untuk disangkal.

Kerana adanya Ten Hag, Marcus Rashford kembali menemui rentaknya yang telah lama hilang, perkara serupa yang boleh dikatakan terhadap ramai pemain United yang lain juga.

Pemain-pemain yang menjadi beban buat sekian lama seperti Paul Pogba dan Nemanja Matic disingkirkan tanpa ragu-ragu manakala pemain-pemain yang baru dibawa masuk seperti Casemiro dan Christian Eriksen pantas menyesuaikan diri dalam sistem yang dibentuk untuk memberi keutuhan yang telah lama dinanti-nantikan.

United ketika ini tidak sama dengan United yang dibelasah berbulan-bulan lalu.

Dalam masa yang sama, mungkin secara kebetulan, mungkin juga takdir, City sedang berada dalam keadaan yang tidak konsisten.

Dalam kancah Liga Perdana Inggeris, City gagal menundukkan Everton, sebelum membelasah Chelsea dalam saingan Piala FA, tetapi kemudiannya ditumbangkan pula oleh Southampton dalam Piala Carabao.

Seteguh-teguh skuad City, ia tetap ada kelemahan tersendiri jika diperhatikan dengan teliti.



Di barisan pertahanan, titik kelemahan mereka ketika ini adalah di bahagian sayap kiri, posisi yang dahulunya digalas oleh Oleksandr Zinchenko yang sudah pun berpindah ke Arsenal dan disandang oleh Joao Cancelo ketika ini.

Cancelo menunjukkan prestasi konsisten dan cemerlang di awal musim, tetapi kelihatan bergelut dengan prestasi setelah kesilapannya mendorong kepada kekalahan City di tangan Liverpool beberapa bulan lalu.

Pengurus City, Pep Guardiola, dipetik sebagai berkata ada beberapa pemain yang tidak menunjukkan kesungguhan sewaktu sesi latihan dan dikhabarkan Cancelo adalah salah seorang daripadanya.

Di bahagian tengah pula, mereka dilihat terlalu bergantung kepada Kevin De Bruyne seorang manakala pemain-pemain penting yang lain seperti Ilkay Gundogan dan Bernardo Silva masing-masing masih belum menunjukkan potensi seperti musim-musim lalu.

Akhir sekali, tidak kira apa pun kelemahan, dengan adanya Haaland dalam kesebelasan utama, mana-mana kelab pun harus bersedia sepenuhnya untuk bertahan sepenuh jiwa.
Namun, jika Haaland mampu dikekang, ia bakal memadamkan hampir separuh daripada segala aspek bahaya yang mampu City datangkan.

Merah ataupun biru yang bakal tersenyum pada akhirnya?

Kita nantikan.