Berpuluh atlet dan pegawai sukan negara ketika ini berdepan risiko dijangkiti virus Zika apabila berjuang di Sukan Paralimpik Rio Brazil serta Kejohanan Lawan Pedang Asia Tenggara di Singapura.

Fakta mengejutkan apabila ramai daripada mereka golongan wanita yang terdedah untuk melahirkan zuriat memiliki otak kecil jika dijangkiti virus terbabit.

"Apa boleh buat, inilah risiko menjadi atlit negara. Saya harap rakan sepasukan di Singapura tidak dijangkiti Zika, begitu juga dengan kontinjen Paralimpik di Rio.

"Jika tidak kerana kecederaan, saya juga mahu bersama mereka. Demi negara, semua sanggup berkorban," kata atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean.

Olimpian 2012 itu mengalami kecederaan lutut berulang sekali gus terlepas peluang ke Singapura.

Ia tamparan kedua selepas lawan pedang tidak mempunyai wakil ke Olimpik Rio.

Institut Sukan Negara (ISN) pernah mengeluarkan amaran untuk atlet yang 'terpaksa' bertanding di negara terdedah agar mengambil suntikan demam kuning bagi mengurangkan risiko jangkitan kerana realitinya, tiada vaksin untuk virus Zika setakat ini.

Sedikit melegakan, kontinjen negara di Olimpik Rio bukan saja pulang dengan 4 perak 1 gangsa, malah disahkan bebas jangkitan Zika.

Itu mungkin boleh dijadikan sandaran untuk mengurangkan kebimbangan kerana kita perlu ingat, kes Zika sudahpun dikesan di Malaysia.

Seorang ibu melawat anaknya di Singapura, pulang ke Malaysia dan dikesan positif Zika.

Bagaimana dengan sekumpulan atlet dan pegawai sukan negara yang berkampung hampir seminggu di seberang tambak?

Demi negara yang tercinta...lautan api sanggup direnangi.