Sukan SEA 2017 menandakan sudah dua dekad penglibatan ratu terjun negara, Leong Mun Yee, dalam temasya dwi-tahunan itu sejak beliau membuat penampilan pertama ketika berusia 13 tahun dalam Sukan SEA 1997 di Jakarta, Indonesia.

Namun, mungkin tahun ini Mun Yee gagal melebarkan rekod penyertaannya dalam Sukan SEA Filipina 2019 gara-gara tuan rumah tidak menyenaraikan acaranya, 10 meter platform.

Walaupun pencapaian Mun Yee mungkin tidak sehebat pencapaian rakan seperjuangannya seperti Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong yang menyinar dalam Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik, tetapi Mun Yee punya sensasi tersendiri.

Dia berjaya mengaut 16 pingat emas sepanjang penyertaannya dalam temasya Sukan SEA.

Selain itu, Mun Yee juga berjaya mewakili negara dalam empat temasya Sukan Olimpik dan terbaru, dia memastikan slot negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi acara 10 meter platform seirama.

Cintanya untuk sukan terjun dan semangat untuk mewakili Malaysia tidak pernah pudar walaupun dia merupakan antara atlet senior yang masih bersama skuad terjun negara.

Kegigihan dan semangatnya bukan hanya dipamerkan melalui latihan ataupun terjunannya, malah apabila Mun Yee kerap menangguhkan pengajiannya demi lencana di dada.

Sikap dedikasi dan disiplin Mun Yee ini wajar dicontohi atlet negara.

Biarpun di atas kertas pencapaian yang dilakar Mun Yee tidak sebaris Datuk Lee Chong Wei atau Datuk Nicol David, tetapi atlet jelita ini punya impak besar dalam sukan negara yang melihat dedikasinya demi lencana di dada sebagai inspirasi.