Sejak perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2017, posisi sayap Barcelona bagaikan satu badi.

Ansu Fati, pemain muda dengan potensi cukup besar, dilanda kecederaan lutut serius.

Setelah mengambil masa lebih setahun untuk pulih, kecederaan lama Fati kembali membelenggu dan dia disarankan menjalani pembedahan -- satu proses yang bakal memaksanya berehat lebih lama.

Antoine Griezmann, bintang skuad kebangsaan Perancis yang dibeli dari Atletico Madrid pada 2019, dipaksa untuk bermain di posisi sayap demi mematuhi formasi 4-3-3 yang digunakan Barcelona sejak sekian lama, walhal posisi utama pilihannya adalah sebagai 'penyerang kedua'.

Biarpun berjaya menjaringkan 22 gol dalam 71 penampilan, Griezmann gagal untuk memenangi hati penyokong Barcelona dan kepulangannya ke Atletico Madrid atas dasar pinjaman tahun lalu disambut dengan cukup gembira.

Seperti diketahui ramai, Lionel Messi, bintang yang mengisi posisi sayap kanan Barcelona buat sekian lama, akhirnya terpaksa meninggalkan kelab gara-gara masalah kewangan dan menyertai Neymar di PSG tahun lalu juga.

Terkini, seorang lagi pemain yang memainkan peranan sayap kiri, Ousmane Dembele, dikhabarkan hanya menghitung hari untuk turut angkat kaki.

Persembahan memberangsangkan bersama Borussia Dortmund pada musim 2016-2017 mendorong Barcelona untuk membelinya dengan harga setinggi €105 juta (RM496 juta) bagi menggantikan tempat Neymar.

Biarpun dia diramalkan bakal menjadi seorang pemain muda yang cukup sensasi sehingga dikatakan setaraf dengan Kylian Mbappe, Dembele tidak terkecuali dirundung malang.

Menurut statistik laman sesawang goal.com, bermula dari 2017 sehingga 2021, Dembele telah dilanda kecederaan sebanyak 12 kali dan terlepas 99 perlawanan secara keseluruhan!
Gaji Dembele adalah setinggi £210,000 (RM1.2 juta) seminggu.

Dengan erti kata lain, dia mampu menikmati hidup sebagai seorang jutawan selama bertahun-tahun tanpa perlu memerah keringat sekuat pemain Barcelona lain yang seangkatan dengannya.

Untuk rekod, hanya Frenkie de Jong, Sergio Busquets dan Memphis Depay dibayar gaji lebih tinggi di Barcelona ketika ini, manakala Gerard Pique, pemain yang telah bersama Barcelona selama 14 tahun, dibayar gaji yang sama dengan Dembele.

Tidak cukup dengan isu kecederaan, Dembele turut dilanda kontroversi di luar padang.

Sewaktu Barcelona berkunjung ke Jepun pada Julai 2021, Dembele dilaporkan telah mengucapkan kata-kata berbaur perkauman terhadap juruteknik Jepun yang membaiki kerosakan televisyen di bilik hotelnya dan menghina bahasa negara itu.



Barcelona tetap terus bersabar dengan segala kerenah Dembele dan pengurus baru mereka, Xavi, memilih untuk mengekalkannya bersama pasukan kerana percaya akan potensi pemain berkenaan.

Disebabkan kekangan kewangan Barcelona, mereka cuba memujuk Dembele untuk menandatangani kontrak baru dengan potongan gaji -- sesuatu yang pada awalnya diterima baik.

Malangnya, awal bulan ini, Dembele dilaporkan telah mengubah keputusannya dan menuntut kontrak baru dengan bayaran setinggi €80 juta (RM378 juta) secara keseluruhan.

Dalam laporan akhbar The Daily Mail semalam, pengarah bola sepak Barcelona, Mateu Alemany, menghentam tindakan Dembele itu secara terbuka.

"Kami telah memutuskan untuk tidak menjadikan Dembele sebahagian daripada perancangan pasukan lagi.

"Kami hanya mahukan pemain yang komited terhadap kelab dan Dembele telah diberitahu untuk meninggalkan pasukan secepat mungkin."

Dalam laporan yang sama semalam, ejen Dembele, Moussa Sissoko, dirakam sedang menerima panggilan telefon daripada pengarah sukan PSG, Leonardo, sewaktu tiba di lapangan terbang Barcelona.

Sememangnya PSG adalah antara kelab terkaya tetapi wajarkah mereka melaburkan wang demi membeli pemain yang cukup bermasalah seperti Dembele?

Mampukah Dembele bangkit semula satu hari nanti dan membuktikan kepada dunia bahawa bakatnya berbaloi untuk terus diterokai?

Anda harus punya jawapannya.