Recap kembali dari saingan Piala Hoki Remaja Asia di Kuantan di mana Malaysia tidak menepati jangkaan atau sasaran apabila tersingkir awal dalam peringkat suku akhir selangkah sahaja dari melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja di India tahun depan sekaligus kemaraan Projek 2016 terhenti begitu sahaja dan harapan kita melihat kelibat kelompok pemain pemain remaja negara bersaing di peringkat tertinggi punah sama sekali. India muncul Juara, Pakistan selaku naib juara, Korea di tempat ketiga dan Jepun di tempat ke-4 mengesahkan 4 pasukan layak ke Piala Dunia Remaja di India tahun hadapan. Shahril Saabah flicker terbaik negara muncul pemain terbaik kejohanan sekadar saguhati buat pasukan kebangsaan kendalian Arul Anthonisamy Selvaraj. Apakan daya, bukan rezeki kita walaupun muncul pasukan tempat ke-4 Piala Dunia Remaja sebelum ini.

Kontroversi yang timbul sebelum ini adalah kritikan yang diberikan oleh Arul sendiri terhadap corak pengendalian pasukan remaja oleh Dharmaraj Abdullah serta K Gobinathan dan kini termakan kata katanya sendiri apabila pasukan negara yang dikatakan antara terbaik di Asia tidak mampu meletakkan diri sekurang kurangnya dalam kelompok 4 pasukan terbaik di bawah jagaan beliau. Persoalannya apa perancangan seterusnya untuk pembangunan hoki di peringkat remaja Baru baru ini pula Kejohanan Piala Razak berkesudahan dengan kejutan besar apabila pasukan Melaka yang mempunyai rata rata pemain berstatus remaja dan tidak berpengalaman muncul Juara dan giant killers walaupun tidak diberikan harapan untuk layak dari peringkat kumpulan lagi. Namun usaha serta kesungguhan pasukan muda kendalian S.Vellapan ini membuktikan bahawa kerja keras lebih berhasil berbanding bakat semata mata. Pasukan Perak yang dibarisi rata rata pemain kebangsaan, bekas pemain kebangsaan serta pemain remaja kebangsaan tidak mampu meratah barisan pertahanan Melaka yang kental menahan asakan bertali arus Perak yang merupakan penyandang juara kejohanan tersebut. Di peringkat separuh akhir Melaka menjinakkan Johor 4-3 dan selesa mendahului pada satu ketika 4-1 manakala Perak menewaskan KL 3-2 untuk menempah tempat ke Final. Melaka berjaya menjaringkan gol awal dan bertahan habis habisan sampailah wisel penamat untuk muncul Juara sekadar kali ke-3 Kejohanan Hoki Piala Razak yang sungguh berprestij ini.

Penuh drama, mendebarkan dan tidak senang duduk adalah antara situasi yang boleh saya gambarkan ketika mengacarakan program Hoki di Astro Arena saluran 801 sepanjang 2 bulan lalu. Apa yang boleh dikatakan adalah komitmen kami terhadap Hoki peringkat kebangsaan akan berterusan pada tahun 2016 dengan lebih banyak liputan secara menyeluruh kejohanan kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa. Satu sahaja persoalan yang timbul kenapa agaknya sambutan penyokong tempatan terhadap Hoki tidak berapa meyakinkan berbanding bolasepak sebagai contoh? Sila beri komen.