Liga Perdana Inggeris(BPL) masih belum bermula namun debat dan percaturan sudah mula giat dirancang oleh kelab-kelab besar di England setelah jadual perlawanan bagi musim 2016/17 telah dikeluarkan beberapa minggu yang lalu.

Juara bertahan, Leicester City ingin membuktikan bahawa mereka bukan one-hit-wonder dan akan berusaha untuk mempertahankan kejuaraan mereka. The Foxes juga sudah berjaya menahan penyerang, Jamie Vardy daripada berhijrah ke Arsenal pada musim perpindahan kali ini.

Sementara itu pasukan seperti Arsenal, Chelsea, Manchester United, Manchester City, Liverpool dan Tottenham Hotspur juga pasti ingin bangkit dari musim yang mengecewakan musim lalu.
Leicester City dijangkakan akan bermula baik pada perlawanan pertama apabila mereka akan menerima kunjungan pasukan baru di BPL musim ini iaitu Hull City dan mereka juga akan melalui jalan mudah setiap kali tamat perlawanan Liga Juara-Juara Eropah(UCL) peringkat kumpulan.

The Foxes akan bermain di tempat sendiri setiap selepas enam perlawanan peringkat kumpulan UCL, namun mereka mungkin akan melalui jalan sukar di enam perlawanan dihujung musim.
Leicester terpaksa berkunjung ke Crystal Palace dan Manchester City serta menerima kunjungan Tottenham, yang mungkin akan menjadi penentu jika mereka masih dalam kelompok teratas diliga.

Sementara itu, naib juara BPL, Arsenal mungkin menghadapi kesukaran apabila terpaksa bertembung Liverpool bagi perlawanan pertama mereka. Musim lalu, mereka hanya sekadar mencatat seri 0-0 dengan The Reds di Stadium Emirates.
Mereka hanya perlu mengharungi dua perlawanan di tempat lawan selepas UCL tetapi, enam perlawanan mereka juga tampak sulit kerana perlu menempuh Tottenham Hotspur, Manchester United, Stoke City dan Everton dalam empat perlawanan terakhir.

Tottenham pula menerima nasib yang paling sukar, kerana selain harus bertandang ke Everton pada perlawanan pertama, empat dari perlawanan selepas UCL mereka adalah di tempat lawan, termasuk harus bertandang ke Chelsea, Arsenal dan juga Manchester United.
Tottenham juga harus berkunjung ke Leicester City dan menerima kedatangan Arsenal dan Manchester United dalam enam perlawanan terakhir. Mereka juga harus memastikan yang pemain mereka cergas selepas ramai dikalangan mereka terlibat dengan Euro 2016 bersama England.

Bagi Pep Guardiola dan Manchester City, peluang untuk mendapat mata penuh dalam tiga perlawanan mereka kelihatan cerah apabila bakal menemui Sunderland, Stoke City dan West Ham United pada Ogos.
Jika layak ke UCL, mereka akan menempuh tiga perlawanan di tempat sendiri dan tiga perlawanan di tempat lawan, dan mereka juga memperoleh jalan mudah di penghujung musim, dengan hanya perlawanan dengan Leicester City di Stadium Etihad yang tampak sukar.

Jose Mourinho pula pasti ingin memulakan musim pertama Manchester United(Man Utd) dengan cemerlang dan The Red Devils akan bertandang ke Bournemouth untuk perlawanan pertama mereka. Mourinho pasti ingin berwaspada kerana Man Utd (Sewaktu di bawah kendalian Louis Van Gaal) tewas2-1 pada musim lalu.
Mourinho juga akan bertemu awal dengan Pep Guardiola, apabila Manchester Derby yang pertama akan berlangsung di Old Trafford pada perlawanan keempat musim, dan mereka juga akan menempuh tiga perlawanan di laman sendiri sejurus setiap kali tamat perlawanan di Liga Eropah

Pada enam perlawanan terakhir, Man Utd terpaksa bertandang ke Arsenal dan Tottenham, sementara Mourinho juga akan bertemu pasukan lama beliau, Chelsea pada enam perlawanan terakhir mereka.

Untuk Liverpool, perlawanan pertama mereka menentang Arsenal cukup penting untuk mereka menentukan momentum melalui musim 2016/2017. Dengan tanpa perlu bermain di peringkat Eropah, Jurgen Klopp mungkin akan mengambil kesempatan inti untuk mencari kedudukan yang kukuh di dalam liga.

Mereka juga tidak perlu menempuh jalan yang sukar, dengan hanya sekadar perlu bertemu West Brom, Crystal Palace, Watford, Southampton, West ham dan Midllesbrough dalam enam perlawanan terakhir mereka.
Kurang dari 2 bulan, Liga Perdana Inggeris akan membuka tirainya, dan setiap pasukan sudah mula sibuk untuk menguatkan kelab masing-masing. Liverpool dengan kehadiran Saido Mane, Leicester berjaya mengekalkan Vardy dan Manchester United hampir pasti menandatangani Zlatan Ibrahimovic.

Kehadiran pengurus pasukan baru di BPL seperti Pep Guardiola, Jose Mourinho dan Antonio Conte juga akan menyaksikan BPL musim hadapan akan menjadi sengit daripada musim yang lepas.