Vivian Hoo dan Goh Jin Wei gemar makan makanan Jepun dan di situlah bermulanya idea membuka restoran Jepun, Ryoshi Izakaya Signature.

Kedua-dua pemain badminton negara itu bijak membuat pelaburan awal bersama lapan rakan pelabur yang lain.

Bagi Vivian, dia berminat dalam bidang perniagaan dan selalu mempelajari sesuatu yang baharu.

Masih aktif beraksi, pemain beregu wanita negara itu berpendapat atlet negara perlu membuat perancangan awal daripada segi kewangan dan karier bagi menghadapi kehidupan selepas sukan.

Perkara sama juga ditekankan oleh pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Jin Wei, yang merupakan pelabur termuda dalam restoran yang bertempat di Atria Shopping Gallery itu.

Sambil bertumpu kepada badminton, pemain berusia 19 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu juga menyatakan dia banyak belajar daripada proses menubuhkan perniagaaan dan amat penting untuk mempelajari sesuatu luar dari gelanggang badminton.

Pembukaan rasmi restoran mereka itu berlangsung kelmarin dandihadiri oleh keluarga serta rakan sepasukan seperti Tan Kian Meng serta bekas pemain negara seperti Joanne Quay, Daphne Ng dan Sabrina Chong.

Lebih meriah lagi, ketua chef menunjukkan skil memotong ikan tuna seberat 100 kilogram dari Jepun.

Walaupun kini sudah menjadi tauke, Vivian dan Jin Wei berharap ini akan memberi motivasi untuk mereka mencapai lebih banyak kejayaan dalam sukan badminton buat Malaysia.