Biarpun kekalahan awal skuad negara dalam saingan Piala Suzuki AFF masih terasa kecewanya, masih ada harapan nama negara harum di mata dunia.

Siapa sangka, nama Faiz Subri bakal mencipta sejarah baru buat Malaysia.

Bukan pemain skuad kebangsaan, bukan nama 'favourite' di kalangan pemain elit negara namun Faiz cukup membanggakan seluruh penyokong bola sepak tanah air ketika ini.

Seiring dengan kemunculannya dalam aksi di peringkat senior pada tahun 2009, Faiz kini cukup mendambakan anugerah impian seluruh pemain bola sepak seluruh dunia yang diperkenalkan pada 2009 oleh mantan Presiden FIFA, Sepp Blatter.

Selepas terpilih mengisi senarai akhir 3 gol terbaik Anugerah PUSKAS, kelibat anak jati yang berasal dari Ayer Hitam, Kedah ini menjadi topik perbualan hangat sejak namanya tercalon untuk 10 jaringan tercantik dunia sejak bulan lalu.

'Kalau saya dapat kedudukan 3 terbaik, itu sudah cukup baik malah, berada dalam 10 jaringan terbaik dunia pun saya rasa macam mimpi.' Itu reaksi Faiz, sebelum menerima perkhabaran gembira yang akan membawanya ke Zurich, Switzerland awal bulan Januari nanti.

Yang pasti Faiz sudah pun menewaskan 2 bintang ternama dunia iaitu Lionel Messi dan Neymar bagi merebut 3 kedudukan terbaik yang turut diisi Marlone dari Brazil dan pemain wanita dari Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Tahniah Faiz Subri dan teruskan mengundi rakyat Malaysia!