Mohamad Amin Jamaluddin atau disapa Bonzer berazam untuk melunaskan misinya dalam kalangan rakan-rakannya dan peminat ragbi Malaysia.

Dia kembali menyertai pasukan TV 1834 Pforzheim tetapi hanya sempat membuat dua penampilan dalam kancah Bundesliga musim lalu berikutan penularan COVID-19.

Bonzer kembali ke Jerman dengan hasrat melanjutkan kariernya ke tahap lebih tinggi.

"Saya mahu cari pengalaman lagi dan rezeki saya dapat ke Eropah.

"Pengalaman penting untuk bermain di tahap lebih tinggi.

"Saya mahu mengharumkan nama Malaysia di sana. Kalau boleh saya mahu dorong diri sendiri bermain di liga Perancis atau Sepanyol," katanya yang kali terakhir mewakili Malaysia pada 2018.





Berketinggian 182cm, dia boleh dianggap besar dalam kalangan rakyat Malaysia tetapi pemain kelahiran Perlis mengakui perlu lebih licik di bahagian forward untuk bersaing dengan pemain Eropah.

"Saya sudah berlatih di sana tahun lalu. Saya sudah mengenali rakan sepasukan dan suasana. Alhamdulillah saya boleh bawa posisi ini di sana.

"Orang di sini mungkin nampak permainan saya agresif berikutan fizikal saya yang besar.

"Tapi di Eropah jadi lain sebab ukuran fizikal kami lebih kurang sama malah ada yang lebih besar. Oleh itu permainan saya tidak nampak agresif. Mungkin ada yang lebih agresif jadi saya perlu gunakan pengalaman.

"Kalau boleh saya mahu bantu pasukan meraih kedudukan empat atau tiga terbaik musim ini," katanya lagi.