Beliau memohon maaf kerana kesibukan menyiapkan beberapa projek, maklumlah seorang pakar akademik yang bertugas di menara gading memang dituntut membuat kajian ilmiah untuk diterbitkan.

Akhirnya Kafe Sukan menampilkan Dr Khairi, dalam kapasiti lebih besar, Isnin lalu, ditemani Sadek.

Dr Khairi kini menjawat tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), menggantikan Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

Sedikit sejarah kewujudan ISN, ia bermula dari bahagian perubatan sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang beroperasi di Stadium Kampung Baru dan kemudian diserap dan dipindahkan ke Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai Bahagian Sains Sukan.

Pada 1982 KBS mendapatkan khidmat perunding dari kerajaan Jerman Barat waktu itu untuk melakukan kajian kemungkinan pembinaan ISN dan akhirnya Prof Helmut Digel dan Rudiger Dohrmann bertandang ke Kuala Lumpur, dibantu pegawai Mazlan Ahmad (kini Datuk Wira) yang akhirnya menjadi Ketua Pengarah MSN 1993-2005.

Dr Noordin Darus (kini Datuk) mengetuai unit perubatan dan sains sukan MSN, sebelum ia dijadikan bahagian sains sukan. Apabila ia dinaik taraf menjadi institut pada awal 1994, saintis sukan dari Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra UPM), Dr Jabar Johari, dipinjamkan dari Kementerian Pelajaran untuk menjadi Pengarah ISN sebelum Dr Ramlan (kini Datuk) mengambil alih pada 1996.

Menepati aspirasi kerajaan agar ia menjadi agensi yang mengurus dan menggalakkan kemajuan penyelidikan dan inovasi sains sukan, ISN dipisahkan daripada naungan MSN dan diwujudkan selaku entiti berbeza menerusi Akta ISN 2011.

Termaktub bahawa fungsi ISN ialah antara lain menasihati Menteri Belia dan Sukan mengenai aspek saintifik berhubung prestasi atlet, menyediakan perkhidmatan saintifik, nasihat dan rundingan berkaitan sains dan perubatan sukan, menyelaras aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi sains sukan.

Pelantikan Dr Khairi dilihat agak drastik, hanya tujuh bulan sebelum temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro disingkap tirainya.

“Saya ibarat meninggalkan percutian di Club Med dan terjun ke dalam gunung berapi,” Dr Khairi menyimpulkan cabarannya kepada penulis selepas Kafe Sukan.

Sebagai pakar akademik yang membuat pelbagai kajian dari sudut kemahiran motor dan asas-asas pergerakan manusia serta kemahiran motor dalam sukan prestasi tinggi, Dr Khairi dijangka mampu mempercepatkan proses inovasi dan aplikasi sains sukan serta memperkasa hubungan di antara ISN dan dunia akademik.

Dr Khairi yang memberi anggaran hanya 30 peratus aplikasi sains sukan dilakukan dalam ekosistem sukan Malaysia, percaya model Britain harus dijadikan pedoman.

“Persatuan di sana menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan dan inovasi, bahkan Universiti Loughborough antara institusi pendidikan yang menawarkan satu ekosistem pembangunan sukan yang bersepadu di mana sains dan sukan bersatu,” katanya.

Dr Khairi pernah membuat kajian mengenai teknik servis kuda selain menyelidiki pergerakan tubuh pemain badminton juga mengharapkan agar persatuan sukan kebangsaan menerima inovasi daripada sains sukan.

Bagi Dr Ramlan yang kekal menjadi perunding perubatan dan dilantik menjadi penasihat di KBS, beliau menerima keputusan itu sekalipun sebelum ini sudah mengenal pasti beberapa individu untuk menerajui ISN.

“Tiba masanya untuk saya keluar daripada keretapi ini,” katanya.