Manchester United seringkali dijadikan bahan jenaka apabila berbicara tentang hal-ehwal pembelian pemain baru, dan ini bukanlah satu perkara asing.

Tidak dapat dinafikan, United telah melakukan urusniaga terbaik dalam dunia bola sepak sewaktu membeli Cristiano Ronaldo pada 2003, tidak dilupakan juga pembelian Wayne Rooney pada 2004 serta Robin Van Persie pada 2014.

Tetapi sebenarnya ada lebih ramai lagi pemain yang terlepas daripada sambaran United, pemain yang pastinya dapat merevolusikan kelab sepenuhnya, tetapi apakan daya, hajat mereka tidak kesampaian.

Ini senarai antara lima pemain terbaik yang nyaris-nyaris pernah dimiliki United:

Alphonso Davies

Bek kiri Bayern Munich ini baru berusia 19 tahun tetapi dia kelihatan seperti pemain terbaik dunia di posisi tersebut sewaktu Bayern membelasah Barcelona dalam Liga Juara-Juara Eropah tahun ini.

Davies sebenarnya telah diekori rapat oleh United sejak awal lagi, malah menjemputnya untuk menyertai sesi percubaan selama tiga minggu pada 2018.



Malangnya, Davies baru sahaja pulang dari tugasan bersama negaranya di Sukan Olimpik dan gagal mendapatkan kelulusan kelabnya ketika itu, Vancouver Whitecaps, untuk menghadiri ujian tersebut.

Enam bulan kemudian, Davies dijual ke Bayern dengan harga €14 juta (RM68.1 juta) sahaja sedangkan United terpaksa membayar €15.4 juta (RM75 juta) baru-baru ini untuk mendapatkan Alex Telles yang bermain di posisi serupa.

Toni Kroos

Pada 2014, Toni Kroos sebenarnya sudah pun bersetuju untuk menyertai United, namun malang sekali pembeliannya adalah hasil kerja pengurus ketika itu, David Moyes.



Dalam temu bual bersama laman sesawang bleacherreport.com, Kroos dipetik sebagai berkata: “Saya tahu United mahukan saya dan Moyes berkali-kali menegaskannya. Saya kagum dengan perancangannya untuk membangunkan United dan saya pun terus bersetuju secara lisan.”

Selepas Moyes dipecat, urus niaga pembelian Kroos pun gagal dan dia pun pergi menyertai Real Madrid di mana dia berjaya membantu kelab itu untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali berturut-turut.

Arjen Robben

Arjen Robben paling dikenali dengan satu set gerakan istimewanya: terjahan pantas dari sayap kanan, menggelecek melepasi pemain pertahanan dan seterusnya menjaringkan gol.

Peminat United sepatutnya dapat melihat aksi lincahnya saban minggu, namun Robben tidak kunjung tiba.

Menariknya, ada dua versi berbeza yang ditampilkan tentang kegagalan membeli pemain ini.

Menurut Robben, dia dijemput untuk berkunjung ke padang latihan United dan menanti-nantikan tawaran pembelian selepas dia pulang ke Belanda, namun United tidak melakukan sebarang bidaan dan ini memaksanya untuk memilih Chelsea.

Namun, menurut bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand, Robben merungut yang bau padang United cukup busuk dan disebabkan itu dia lebih selesa untuk berpindah ke Chelsea!

Zinedine Zidane

Pada 1996, Zidane dilabelkan sebagai antara bintang baru paling berbakat dan diburu oleh pelbagai kelab gergasi Eropah, termasuklah United.

Sayang sekali, pada akhirnya Alex Ferguson memutuskan untuk tidak melakukan sebarang bidaan kerana khuatir kehadiran seorang lagi pemain penyerang dari Perancis akan menggusarkan pemain terbaik United ketika itu, Eric Cantona.

Jika Zidane dapat bergandingan dengan Ryan Giggs, Roy Keane serta David Beckham dalam jentera barisan tengah United, ia pasti cukup menggerunkan sekali.

Ronaldinho

Peminat United pastinya sukar melupakan apa yang terjadi pada 2003.

United berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris selepas persaingan getir dengan Arsenal sepanjang musim tetapi mereka kehilangan khidmat David Beckham akibat berselisih faham dengan Alex Ferguson.

Ronaldinho disasarkan sebagai pengganti paling sesuai dan mereka berusaha sehabis daya bagi menyempurnakan urusan pembeliannya.

Namun, United tidak tahu yang Ronaldinho sebenarnya sudah membuat perjanjian lisan dengan calon presiden Barcelona ketika itu, Sandro Rosell, sejak awal-awal lagi.

Ronaldinho berjanji akan menyertai Barcelona jika Rosell memenangi pemilihan bagi merebut jawatan presiden, dan ternyata itulah apa yang berlaku.